Ops Mahir: Selindung sebalik PLKS, 62 PATI ditahan

20 hours ago 8

PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menahan seramai 62 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi bersepadu Ops Mahir yang dijalankan di sekitar Shah Alam dan Puchong, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang bermula kira-kira pukul 10.55 pagi itu melibatkan 66 pegawai imigresen dengan sokongan 12 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurutnya, operasi berkenaan memfokuskan sektor perindustrian dan logistik yang dikenal pasti berisiko tinggi terhadap kehadiran PATI.

“Hasil pemeriksaan di dua premis melibatkan 112 individu, pihak kami menahan 62 warga asing iaitu 56 dari Bangladesh, Nepal (empat) serta masing-masing seorang dari India dan Indonesia atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket adalah berselindung di sebalik pas lawatan kerja sementara milik syarikat lain bagi mengelirukan pihak berkuasa.

“Warga asing ini dikesan bekerja di premis berbeza daripada majikan asal yang didaftarkan, sekali gus menunjukkan wujud penyalahgunaan pas serta kemungkinan penglibatan majikan yang tidak bertanggungjawab.

“Tindakan ini bukan sahaja melanggar syarat permit, malah mencerminkan cubaan terancang untuk mengeksploitasi sistem sedia ada,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujud rangkaian lebih besar dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan dalang terlibat.

Katanya, antara kesalahan dikenal pasti termasuk tiada dokumen sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(c), serta salah guna pas di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Tiga saman kepada saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Jelasnya, kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih dan Lapangan Terbang Kuala Lumpur bagi tujuan dokumentasi serta tindakan lanjut.

Tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terpelihara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |