NCT bawa kakitangan, ahli keluarga sertai aktiviti tanam pokok bakau

7 hours ago 5

PETALING JAYA – NCT Group of Companies (NCT) telah menganjurkan Program Menanam Pokok Paya Bakau di Taman Alam Kuala Selangor bersempena Hari Bumi, selaras dengan komitmen syarikat terhadap penjagaan alam sekitar.

Projek yang menghimpunkan 80 peserta yang terdiri daripada kakiitangan syarikat dan ahli keluarga mereka turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Pencinta Alam Malaysia.

Program ini bertujuan untuk menyokong pemulihan pesisiran pantai serta memperkukuh daya tahan iklim melalui usaha pemuliharaan ekosistem paya bakau yang terjejas serta menunjukkan komitmen NCT terhadap dimensi sosial dalam amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Selain itu, peserta juga diberi kefahaman dan pengalaman tentang pentingnya peranan pokok paya bakau dalam melindungi pesisiran pantai daripada hakisan ombak, memelihara biodiversiti, dan berfungsi sebagai salah satu penyimpan karbon semulajadi yang terbaik di dunia.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT, Datuk Seri Yap Ngan Choy berkata, program penanaman pokok paya bakau ini dapat
menyokong penyelesaian iklim berasaskan alam di samping menyemai budaya tanggungjawab dalam kalangan warga kerja dan komuniti.

“Kami kekal komited untuk memacu impak jangka panjang yang bermakna selaras dengan keutamaan ESG,” katanya dalam kenyataan.

Paya bakau adalah antara ekosistem yang berkeupayaan tinggi dalam
penyerapan karbon, dengan keupayaan menyerap sehingga kira-kira empat hingga lima kali ganda lebih banyak karbon dioksida berbanding hutan tropika.

Melalui inisiatif ini, NCT menyokong usaha Tindakan Iklim (SDG 13) serta pemuliharaan ekosistem marin di bawah Hidupan di Bawah Air (SDG 14).

Program ini adalah sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) NCT yang lebih luas, yang dipandu oleh Pasukan Petugas ESG dan Jawatankuasa Kelestarian yang komited dalam memastikan impak yang berukur dan berpanjangan.  -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |