KLANG – Kegiatan penyelewengan diesel melibatkan stesen minyak di Selangor terus dibanteras apabila sebuah lori tangki yang diubah suai dikesan melakukan pengisian di sebuah stesen minyak di Pandamaran, di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 3 petang itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang merupakan pemandu lori tersebut.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor,
Mohd. Hanizam Kechek berkata, pemeriksaan lanjut mendapati tangki asal telah diubah suai bagi membolehkan bahan api yang diisi disedut semula sebelum dipindahkan ke tangki badan lori.
Katanya, tangki badan lori dianggarkan berkapasiti 5,000 liter dan kira-kira 1,000 liter diesel yang disyaki untuk diseleweng berjaya dikesan dan diselamatkan.
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek mendapati tidak mempunyai dokumen sah memiliki dan membawa barang kawalan berjadual iaitu bahan api diesel.
“Anggaran nilai rampasan keseluruhannya berjumlah RM62,000 manakala nilai subsidi negara yang berjaya diselamatkan mencecah RM6,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, sitaan telah dibuat terhadap lori dan diesel diseleweng itu dan disimpan di stor penyimpanan ekshibit KPDN Selangor.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 21 dibaca bersama dengan Peraturan 3(1) Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
“Pihak stesen minyak turut berpotensi disiasat di bawah Akta yang sama iaitu di bawah Subperaturan 21(1) Peraturan -Peraturan Kawalan Bekalan 1974- Pelanggaran Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Hanizam berkata, sebanyak 17 kes telah dihasilkan dengan sitaan keseluruhan melebihi RM300,000 hasil 852 pemeriksaan melibatkan stesen minyak, pemborong bahan api dan premis runcit di seluruh negeri ini sepanjang Ops Tiris 4.0 bermula 16 Mac hingga semalam.
“Kita juga serius untuk syor pembatalan atau menggantung kelulusan Fleet Card terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan subsidi di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi dan subsidi nelayan di Selangor,” katanya. – KOSMO! ONLINE

23 hours ago
9










![[VIDEO]’Liza Hanim nak tumpang populariti saya, tak perlu melatah’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/ameng-liza.jpg)







![[VIDEO] Burung, anjing ‘iring’ lelaki bawa rezeki setiap pagi](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/motosikal-makanan-haiwan.jpeg)




























