[VIDEO] Volvo XC90 hilang kawalan sebelum rempuh KFC, langgar pelanggan

10 hours ago 4

LUMUT – Kenderaan pelbagai guna (MPV) Volvo XC90 yang merempuh restoran KFC di Sitiawan dekat sini malam tadi dipercayai akibat pemandunya hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian di Jalan Sitiawan-Lumut itu kira-kira pukul 9.05 malam.

“Siasatan awal mendapati sebuah motokar jenis Volvo XC90 dipandu seorang lelaki Cina berumur 29 tahun datang dari arah Kampung Koh menuju ke arah Sungai Wangi.

“Apabila sampai di persimpangan lampu isyarat depan restoran KFC Sitiawan, pemandu MPV dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke kanan sebelum merempuh bangunan restoran KFC dan melanggar lapan pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pelanggan itu terdiri daripada tujuh orang dewasa dan seorang kanak-kanak di dalam restoran itu.

“Akibat kemalangan, pemandu MPV mengalami kecederaan ringan dan seorang wanita Cina berumur 73 tahun yang juga pelanggan restoran tersebut meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan HSM.

“Tujuh pelanggan lain terdiri daripada dua lelaki Melayu, dua lelaki Cina, seorang wanita Melayu, seorang wanita Cina dan seorang kanak-kanak perempuan Cina berusia lingkungan antara 5 hingga 38 tahun pula telah mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di HSM,” katanya.

Hasbullah berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu kenderaan telah ditahan di bawah seksyen sama untuk siasatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Nur Syafiqah Baharudin dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah Manjung di talian 012-6375962 atau talian 05-6899072. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |