PETALING JAYA – Jasa dan pengorbanan seorang guru memang tidak mampu dibalas, lebih-lebih lagi dalam peranannya mendidik anak bangsa tanpa rasa penat dan penuh kasih sayang.
Namun gelagat seorang murid lelaki sekolah rendah memberi RM1 sebagai hadiah persaraan buat guru kesayangan dikenali sebagai Cikgu Salina mengundang sebak orang ramai.
Menerusi perkongsian pengguna TikTok @syireen0102, kanak-kanak tersebut beratur bersama rakan-rakannya pada hari terakhir perkhidmatan guru tersebut.
Guru tersebut cuba menolak pemberian anak murid berkenaan, namun kelihatan kanak-kanak itu bersungguh-sungguh tetap mahu ‘meraikan’ dengan menyerahkan not RM1.
Menurut @syireen0102, sosok seorang guru pasti mempunyai rasa kasih dalam mendidik murid-muridnya.
“Marahnya dalam memberi ilmu, tegasnya dalam memberi teguran, bukan untuk siapa-siapa melainkan untuk muridnya yang dikasihi.
“Hari ini dunia menyaksikan air mata kasih guru kepada murid dan air mata murid kepada gurunya yang tidak lagi akan bersua di dalam dunia didikan. Selamat bersara Cikgu Salina, semoga terus berbahagia,” katanya di hantaran itu semalam.
Dalam rakaman berdurasi 55 saat itu, kelihatan para pelajar beratur untuk bersalaman dan memberi hadiah kepada seorang guru di majlis persaraannya sebagai penghargaan.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang tersentuh dengan tindakan pelajar memberi hadiah duit RM1 kepada guru tersebut.
“Mesti cikgu ini baik sangat dekat anak murid sampai semua menangis macam nak berpisah dengan seorang ibu,” kata Afiq.
“Dia nak juga bagi hadiah untuk cikgu walaupun ada RM1 saja, sucinya hati adik,” komen @entahtaktahusaya
“Murid sayang sangat dengan cikgu itu, hadiah sekecil RM1 pun dia ikhlas nak beri,” kata Puteri. – KOSMO! ONLINE
@syireen0102 Sosok seorang guru pasti ada rasa kasih kepada anak didiknya. Marahnya dalam memberi ilmu, tegasnya dalam memberi teguran, bukan untuk siapa-siapa melainkan untuk muridnya yang dikasihi. Hari ini dunia menyaksikan lagi airmata kasih guru kepada murid dan airmata murid kepada gurunya yang tidak lagi akan bersua di dalam dunia didikan🥹🥲 Selamat bersara Cikgu Salina..semoga terus berbahagia ♥️ #cikgu #murid #persaraan #terimakasih ♬ Menamakanmu Cinta – Dato’ Sri Siti Nurhaliza & Ade Govinda