PETALING JAYA – Musim cuti sekolah yang bermula hari ini nampaknya menjadi igauan ngeri buat perantau yang berada di ibu kota untuk pulang ke kampung apabila ramai berkongsi laluan sesak dihadapi mereka sejak semalam.
Melalui perkongsian beberapa pengguna jalan raya terutamanya perjalanan ke Pantai Timur di laman sosial TikTok, rata-rata berkongsi pengalaman perjalanan mereka memakan masa agak lama.
Seorang pengguna berkongsi, dia dan keluarga bertolak dari Shah Alam, Selangor menuju Pasir Puteh, Kelantan mengambil masa selama 28 jam.
“Puas hati balik cuti kali ni, bertolak petang semalam tengah hari tadi baru sampai. 28 jam, rekod saya setakat ini. Ini memang lebih pada hari raya,” kata Marliana Marzuki.
“Gerak dari Puchong pukul 8 malam semalam, saya lepas tol Gombak 1.30 pagi, merah juga mata sebab saya pandu kereta manual,” tulis Hafizul Che Wil.
Dalam pada itu, seorang pengguna, Azman Hamad berkata, ramai yang menjangka jika bertolak awal ke kampung mungkin boleh mengelakkan kesesakan, namun semua itu tidak berlaku.
“Saya ni macam salah kiraan, bertolak sebelum Solat Jumaat semalam, tapi saya terlekat juga 18 jam. Selamat sampai Pasir Mas pagi tadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@szulaina_ jem teruk wei #kelate #kelantan #kelateviral #guamusang #guamusangkelantan ♬ Senggol Senggolan, Cubit Cubitan – Mas Idayu