Vardy tak sabar diamkan pengkritik

11 hours ago 5

CREMONA, Itali – Legenda Leicester City, Jamie Vardy mahu membuktikan kehadirannya di Itali bukan persinggahan percutian sebelum persaraan tetapi bertekad untuk menggegar kancah Serie A bersama kelab baru dinaikkan pangkat, Cremonese.

Pada usia 38 tahun, Vardy antara beberapa bintang veteran yang berhijrah ke Itali musim panas ini, termasuk Kevin De Bruyne (Napoli) dan Luka Modric (AC Milan) yang baru menyambut ulang tahun ke-40 kelmarin.

Cremonese mengejutkan ramai apabila berkongsi enam mata penuh di puncak Serie A bersama juara bertahan, Napoli tetapi ramai menjangkakan pasukan itu bakal berjuang mengelak penyingkiran pada penghujung musim meskipun disokong oleh hartawan tempatan, Giovanni Arvedi.

Namun, Vardy selaku bekas pemenang Liga Perdana Inggeris (EPL) mahu membawa semangat dan komitmen sama seperti 13 tahunnya bersama Leicester daripada seorang pemain tidak dikenali hingga menjadi sebahagian penting dalam kisah dongeng bola sepak pada 2016.

“Sepanjang karier, saya sering diragui dan mungkin akan terus begitu. Tapi apa yang saya selalu lakukan adalah membuktikan mereka semua salah.

“Apabila bercakap dengan pengurus (Davide Nicola), ramai di Itali meragui kemampuan Cremonese untuk kekal dalam liga. Melihat permulaan musim ini, ia luar biasa walaupun kami tahu musim masih panjang,” kata Vardy.

Sebagai rekod, bekas penyerang England itu menyertai Cremonese minggu lalu dengan kontrak setahun dan pilihan lanjutan semusim lagi jika kelab itu berjaya kekal di Serie A.

Pengalaman Vardy dan seorang lagi pemain dari EPL, Jeremy Sarmiento yang dipinjam daripada Brighton, bakal menjadi taruhan terbaik Cremonense.

Selain itu, penjaga gol Indonesia, Emil Audero yang juga beraksi selaku pemain pinjaman dari Como, bakal menggalas tanggungjawab besar memastikan gawang Cremonense kebal. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |