Titah Adendum: Permohonan Najib singkir hakim ditolak

12 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam permohonannya untuk menyingkirkan Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching daripada mendengar semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Hakim Alice Loke membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan selain memutuskan tidak timbul sebarang isu berat sebelah.

Hakim Alice Loke menegaskan penilaiannya sebelum ini hanya dibuat dalam konteks permohonan kebenaran bagi prosiding komital.

Katanya, ia juga tidak memberi kesan kepada perbicaraan penuh yang sedang berlangsung.

“Saya telah mempertimbangkan permintaan ini. Ketika memutuskan ‘isu duty of candour’ itu, ia dibuat dalam konteks permohonan kebenaran semata-mata. Ia tidak boleh dilihat melangkaui konteks tersebut,” katanya.

Terdahulu Muhammad Shafee berkata permohonan itu dibuat atas alasan kenyataan dibuat hakim itu ketika mendengar permohonan Najib untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, boleh menimbulkan persepsi wujudnya unsur berat sebelah.

Hujah Muhammad Shafee, prinsip ‘duty of candour’ atau kewajipan untuk berlaku telus sepenuhnya merupakan elemen penting dalam semakan kehakiman, khususnya ketika peringkat permohonan kebenaran (leave).

‘Prinsip duty of candour’ merujuk kepada kewajipan pihak pemohon untuk mendedahkan semua fakta berkaitan kepada mahkamah, termasuk fakta yang mungkin tidak menyebelahi mereka.

“Selepas meneliti nota prosiding, kami berpandangan isu ini cukup untuk menimbulkan persoalan mengenai kebebasan hakim. Oleh itu, kami menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang Arif untuk menarik diri,” katanya.

Beliau berkata, anak guamnya mengarahkan perkara itu dibangkitkan bagi mengelakkan sebarang pertikaian pada masa akan datang.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 November ini sebagai tarikh sambungan perbicaraan.

Pada 4 September lalu, Hakim Alice Loke menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Terrirudin berkaitan Titah Adendum.

Perkara tersebut diputuskan selepas mahkamah mendapati beliau gagal mengemukakan kes prima facie dan hujah yang dikemukakan lebih bersifat spekulatif. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |