‘Tiga anak sakit, saya harap bantuan JKM, Baitulmal lulus’

3 hours ago 1

PASIR SALAK – Seorang bapa dari Kampung SC, Air Hitam dekat sini bukan sahaja perlu menguruskan makan minum dan tempat tinggal keluarganya, malah perlu mencari rezeki tambahan bagi merawat tiga anaknya yang kini menghidap pelbagai penyakit.

Muhamad Hamirul Mohamed Ali, 38, berkata, anak sulungnya, Nur Emylia Maisarah, 17, pernah diserang strok dan mempu­nyai pendarahan di kepala, selain tangan kirinya tidak boleh menggenggam dengan kuat.

“Kaki kirinya juga bermasalah menyebabkan dia terpaksa menggunakan alat sokongan untuk berjalan ke mana-mana.

“Adiknya, Muhammad Ami­ruddin Aniq, 11, pula menghidap asma tahap empat. Akibatnya, dia sering tidak sedarkan diri apabila penyakit itu menyerang sehingga memerlukan rawatan di Hospital Teluk Intan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Muhamad Hamirul, seorang lagi anaknya iaitu Muhammad Aminuddin Aqil, 7, pula menghidapi penyakit sistemik lupus eritematosus (SLE) dan immune thrombocytopenic purpura (ITP).

Katanya, hati dan limpa anak­nya berada dalam keadaan­ membengkak sehingga menyebabkan kanak-kanak itu selalu muntah darah, selain perutnya juga membuncit akibat masalah itu.

“Aminuddin juga tidak boleh terdedah kepada cahaya matahari kerana situasi itu hanya akan menyebabkan masalah SLE dihidapnya semakin serius dan menyebabkan masalah seperti ruam.

“Masalah ini menyebabkan anak tidak boleh melakukan aktiviti fizikal di bawah cahaya matahari terus, bahkan perlu mengambil cuti dari semasa ke semasa bagi tujuan menjalani rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh,” katanya.

Susulan itu, Muhamad Hami­rul berharap permohonannya untuk mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal diberi perhatian kerana dia masih menunggu maklum balas daripada pihak terbabit.

“Saya hanya bekerja di kilang sawit dengan pendapatan RM2,000 sebulan, manakala isteri, Norizan Mohamad, 38, memberi tumpuan sepenuh masa menjaga anak-anak. Dulu dia bekerja di sebuah kedai piza, namun terpaksa berhenti ekoran masalah kesihatan anak.

“Kami memang tidak mampu nak cari sekitar RM5,000 sebulan untuk rawatan anak terutama­nya Muhammad Aminuddin Aqil secara berkala,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu mengurangkan beban keluarga itu boleh menghubungi Norizan Mohamad di talian 013-4664806 atau boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0823841100102151.

Read Entire Article
Pertanian | | | |