Tiada cubaan culik pelajar KAFA di Sungai Buloh – Polis

4 hours ago 5

SUNGAI BULOH – Polis mengesahkan tiada kes cubaan culik melibatkan seorang pelajar di Sekolah Agama Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) At-Taqwa, Masjid Bandar Baru Sungai Buloh seperti yang tular di laman sosial Threads, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya mengesan hantaran di media sosial mendakwa terdapat cubaan menculik pelajar terbabit kira-kira pukul 1.15 tengah hari.

Menurutnya, pihaknya juga menerima laporan polis daripada ibu pelajar berkenaan.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati tiada kes cubaan culik seperti yang ditularkan dan pelajar tersebut dalam keadaan baik dan selamat bersama keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Mohd. Hafiz menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dan situasi panik dalam kalangan masyarakat.

Katanya, sebarang maklumat yang diterima perlulah disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di talian hotline 24 jam iaitu 03-61579204 (DCC) atau hubungi talian kecemasan 999 terlebih dahulu sebelum menyebarkannya

“Individu boleh didakwa dan dikenakan hukuman di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.

“Tindakan juga boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000, penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya,” tegasnya.

Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran yang mendakwa berlaku cubaan menculik pelajar di KAFA Masjid Bandar Baru Sungai Buloh.

Hantaran berkenaan mendakwa seorang ustaz masjid membuat pengumuman mengenai kejadian itu, selain mendakwa suspek menggunakan modus operandi mengajak kanak-kanak pulang. – KOSMK! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |