Mahu disenaraikan di Bursa Malaysia atau jalani M&A?

8 hours ago 8

Hyco dibina menjadi sebuah ekosistem bersepadu profesional penasihat yang menghubungkan perundangan, korporat, kewangan dan juga khidmat nasihat pematuhan untuk perniagaan dan juga organisasi dalam pelbagai peringkat pertumbuhan.

Melalui ekosistem tersebut, syarikat menghubungkan kompetensi dalam khidmat nasihat korporat, setiausaha, perakaunan, percukaian, sumber manusia dan juga perkhidmatan profesional lain yang diterajui oleh Pengasas Hyco, Hisyam Yunus.

Menurut beliau, bagi perusahaan kecil yang sedang pantas membangun, ia bermula dengan proses perbadanan kemudian disusuli dengan perkara berkaitan perakaunan, percukaian, perlesenan, tadbir urus korporat, pegangan saham, kewangan dan pengembangan masa depan.

Sehubungan itu, perkhidmatan tersebut kini semakin kompleks seiring dengan perkembangan ekonomi semasa yang boleh menjurus kepada perkara yang lebih kompleks.

“Pemilik perniagaan tidak semestinya memerlukan ramai penasihat tetapi lebih penting memiliki penasihat yang boleh berkomunikasi antara satu sama lain.

“Kami tidak mahu menjadi syarikat yang akan bersama pemilik perniagaaan ketika mereka mempunyai masalah, tetapi kami mahu berada ketika perniagaan mereka sedang berkembang,” katanya dalam satu temu bual di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh jelaskan tentang pendekatan Hyco yang menjadi penyelesaian perma­salahan dalam pelbagai bidang berkaitan undang-undang, sum­ber manusia dan tadbir urus korporat yang kini menjadi ra­kan kongsi pertumbuhan sya­rikat?
HISYAM: Salah satu isu yang menjadi persoalan perniagaan yang sedang berkembang maju adalah untuk langkah seterus­nya sama ada mereka mahu menyenaraikan syarikat di Bursa Malaysia atau meneruskan langkah untuk pengambilalihan dan penggabungan (M&A), kami akan bantu mereka menjelaskan kebaikan dan kelemahan setiap pelan itu.

Antara manfaat M&A, adalah syarikat tersebut berpotensi untuk diambil alih oleh mana-mana syarikat utama, sekali gus ia akan meningkatkan nilai dan seterusnya tumbuh untuk fasa pengembangan akan datang.

Bagaimanakah strategi se­sebuah syarikat untuk capai ke peringkat lebih tinggi?
Kami akan membantu mana-mana syarikat yang berpotensi yang mencatat pendapatan jualan daripada RM1 juta hingga boleh mencecah kepada RM10 juta dan seterusnya kepada RM100 juta.

Kami akan membimbing dan memantau perkembangan syarikat tersebut untuk membolehkan mereka mencatat pertumbuhan mengikut perkembangannya dari fasa ke fasa seterusnya.

Bagaimana pula dengan syarikat yang berstatus perusa­haan kecil dan sederhana (PKS), adakah mereka boleh men­­jejaki kejayaan ini juga?
Ya, kami akan membantu mereka juga untuk menaikkan status PKS kepada peringkat Meter, yang mana syarikat tersebut boleh menjana pendapatan sehingga RM50 juta, bermula di situ akan akan bantu menaikkan nilai syarikat agar ia berpotensi untuk fasa M&A.

Kami akan bantu semua segmen perniagaan PKS ini tetapi buat permulaannya kami akan melaksanakan usaha wajar (due diligence) untuk menganalisis dan membuat kajian tentang rekod prestasi serta pengalaman sesebuah syarikat tersebut.

Apakah yang dilaksanakan dalam kajian usaha wajar itu?
Komitmen pertama kami adalah untuk memerika tingkah laku perbelanjaan syarikat tersebut dan melihat adakah pengasas syarikat itu mahu menerima bantuan dan bimbingan secara profesional untuk membangunkan perniagaan yang dibinanya itu.

Ada juga yang tidak mahu menceritakan rekod sejarah syarikat dan ada juga yang hanya memaklumkan secara kasar tentang pelan promosi dan pemasarannya. Dalam proses usaha wajar itu, kami akan melihat terlebih da­hulu carta organisasi syarikat untuk melihat ketuanya, sebagai contoh jika anda membuka sebuah restoran pastilah perlu ada jawatan pengurus kemudian ada jawatan penyelia dan pembantu penyelia, jika ada berlaku kecemasan, siapa yang akan ambil alih pengurusan.

Ada juga peniaga yang baru berniaga dalam bidang makanan dan minuman, tetapi terus membangunkan dapur pusat (central kitchen). Saya lihat, ini adalah antara kelemahan pengusaha yang teruja untuk ber­gerak pantas dalam bisnesnya de­ngan membuka pusat dapur.

Kita perlu membuka lebih ba­nyak cawangan untuk meningkatkan permintaan dan daripada situ pastinya produk dan per­khidmatan boleh mendapat tempat di pasaran.

Sehingga kini, berapa ba­nyak syarikat yang telah berjaya melalui fasa pertumbuhan ini?
Lebih daripada 100 syarikat tetapi jika secara spesifik yang mana kami berjaya bangunkan 40 syarikat yang sehingga kini telah memperoleh semula modal yang dilaburkan, ditambah pula dengan mencatat keuntungan sehingga 100 peratus.

Ini bermakna ada syarikat yang sebelum ini mencatat jualan RM1 juta dan setelah melalui program yang kami bangunkan, syarikat itu mencatat sehingga 1000 peratus dalam tempoh 10 tahun. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |