KUALA LUMPUR – Harapan Harimau Malaya untuk meraih keputusan positif pada aksi separuh akhir pertama Piala ASEAN 2026 tidak kesampaian selepas tewas 0-2 kepada Vietnam di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
Skuad kendalian Kim Sang-sik tampil dengan keyakinan tinggi selepas membawa rekod 22 perlawanan tanpa kalah, namun Malaysia terlebih dahulu mencipta beberapa peluang berbahaya untuk menguji benteng skuad Naga Emas.
Pada minit ke-6, Faris Danish hampir membuka tirai jaringan buat tuan rumah, namun percubaannya dari sebelah kiri kotak penalti berjaya disekat pertahanan Vietnam.
Malaysia terus mengasak dengan G. Pavithran turut menguji penjaga gol Vietnam, Patrik Le Giang menerusi rembatan jarak jauh pada minit ke-14, namun mudah diselamatkan.
Peluang terbaik Malaysia hadir pada minit ke-35 apabila hantaran lintang Faris menemui Paulo Josue tetapi percubaan penyerang naturalisasi itu berjaya diselamatkan Le Giang.
Vietnam yang lebih banyak bertahan kemudian hampir menghukum tuan rumah apabila Nguyen Dinh Bac melepaskan percubaan dari dalam kotak penalti pada minit ke-45, tetapi berjaya dinafikan penjaga gol Malaysia, Azri Ghani.
Kealpaan benteng pertahanan pada penghujung saingan dihukum apabila Nguyen Xuan Son meledak gol tunggal untuk memberi kelebihan buat pelawat sebelum wisel masa rehat ditiupkan.
Malaysia cuba untuk bangkit pada babak kedua dengan melakukan beberapa Gerakan bahaya yang memberi ancaman kepada pasukan ranking ke-99 dunia itu.
Tuah dilihat hampir memihak kepada Malaysia apabila pengadil melayangkan kad merah kepada Le Giang yang mengasari Sumareh pada minit ke-60 sebelum membatalkan keputusan tersebut selepas meneliti rakaman Video Bantuan Pengadil (VAR).
Malang berganda buat kem negara apabila Faris tertampan gol ke gawang sendiri apabila cuba menghalang hantaran Nguyen Quang Hai pada minit ke-85 dengan keputusan 2-0 kekal hingga wisel penamat.
Aksi separuh akhir kedua Piala ASEAN 2026 dijadualkan berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi pada Rabu ini. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
5













































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)


