Bekas anggota polis ugut bunuh isteri dipenjara 9 bulan

1 hour ago 3

TUMPAT – Seorang bekas anggota polis didenda RM4,500 dan penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengugut untuk membunuh isterinya pada minggu lalu.

Tertuduh, Muhd. Sirrul Akmal Rasali, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya yang berusia 42 tahun dengan mengugut membunuh sehingga menyebabkan mangsa berasa gerun atau takut.

Perbuatan itu dilakukan di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu di sini kira-kira pukul 9 pagi pada 8 Ogos lepas.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia, Inspektor Megat Asyraf Megat Ishak manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Afiqah Amran.

Afiqah dalam rayuannya memohon hukuman yang ringan dengan alasan tertuduh mengalami masalah mental dan sedang mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

“Tertuduh ketika ini bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM50 sehari turut menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan perlu menyara dua orang anak,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,500 dan penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh tidak membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.

Mengikut fakta kes, mangsa yang merupakan isteri tertuduh membuat laporan polis selepas lelaki itu mengamuk di dapur dan bertindak agresif.

Tertuduh telah mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap mangsa dengan mengatakan mahu membunuh wanita itu dan kejadian tersebut disaksikan oleh ibu mentua dan anaknya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |