RANTAU PANJANG – Seorang lelaki gagal menyeludup sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ dari Thailand apabila bertindak lari lintang-pukang meninggalkan kenderaan tersebut di dalam kereta di kawasan semak di Kampung To’ Deh di sini semalam.
Suspek bertempiaran lari meninggalkan kereta jenis Proton Gen-2 dipandunya yang membawa motosikal tersebut selepas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu kawasan tersebut kira-kira pukul 5 petang.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota PGA mendapati sebuah kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan di pangkalan haram Tok Mat di sini ketika menjalankan rondaan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Katanya, pemandu kereta tersebut bertindak memecut keluar dari pengkalan haram tersebut menghala ke Kampung To’ Deh.
“Anggota PGA mengekori kereta tersebut sebelum mendapati ia ditinggalkan di dalam kawasan semak di kampung berkenaan.
“Pemeriksan mendapati, sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ yang dianggarkan bernilai RM5,000 berada di tempat duduk belakang kereta. Pencarian di kawasan semak itu bagaimanapun gagal menjumpai pemandu kereta tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, motosikal itu dipercayai diseludup dari Thailand berikutan nombor enjin kenderaan tersebut tidak didaftarkan di negara ini.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati, kereta yang ditinggalkan suspek merupakan milik seorang wanita berusia 37 tahun berasal dari Kampung Tanjung dekat Tumpat.
Tambahnya, kereta dan motosikal seludup itu diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Rantau Panjang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, JKDM Kelantan mengenal pasti rampasan motosikal seludup terutama Yamaha RXZ dilakukan secara konsisten setiap tahun berikutan kenderaan jenis itu mendapat permintaan daripada peminat untuk menyertai RXZ Members.
Pengarahnya, Mohd. Hisham Mohd. Nor berkata, sepanjang enam bulan tahun ini, pihaknya menyita sebanyak 45 buah motosikal terpakai yang diseludup dari Thailand dengan 25 buah daripadanya adalah Yamaha RXZ bernilai RM3.6 juta termasuk duti dan cukai.- KOSMO! ONLINE

5 hours ago
4














































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)

