Selangor gegar pentas Sukma 2026

16 hours ago 6

SHAH ALAM – Selepas 28 tahun menanti, Selangor kembali menyambut kehadiran temasya Sukan Malaysia (Sukma) apabila edisi ke-22 membuka tirai secara rasmi dalam suasana penuh meriah di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, malam ini.

Majlis perasmian Sukma XXII dan Para Sukma 2026 disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, sekali gus menandakan kembalinya temasya itu ke bumi Selangor selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada 1998.

Berbeza dengan kebiasaan penganjuran di dalam stadium, edisi kali ini memilih ruang terbuka di tengah bandar sebagai pentas utama majlis pembukaan, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat untuk bersama-sama merasai kemeriahan temasya.

Suasana bertambah rancak dengan perarakan masuk 15 kontinjen yang dimulakan Johor sebelum kontinjen tuan rumah, Selangor menjadi pasukan terakhir memasuki arena sambil disambut ribuan penonton.

RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menyampaikan ucapan ketika Majlis Perasmian Sukan Malaysia Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, hari ini. FOTO: ISKANDAR

Detik paling dinantikan menyaksikan obor temasya dibawa bekas perenang Olimpik negara yang juga Timbalan Presiden Akuatik Malaysia (MAS), Marilyn Chua dengan diiringi bekas gimnas kebangsaan, Farah Ann Abdul Hadi serta perenang negara, Andrew Goh.

Kemeriahan malam pembukaan turut dihiasi persembahan kebudayaan dan barisan artis tempatan termasuk Azlan & The Typewriter serta Balan Kash yang membawakan lagu rasmi temasya, Rentak Kita Aksi Kita.

Jaclyn Victor, Nadeera Zaini, Caliph Buskers dan Ayai Ilusi turut mengambil bahagian dalam persembahan sebelum majlis diteruskan dengan lafaz ikrar kejohanan serta upacara menyalakan obor sebagai simbol bermulanya persaingan secara rasmi.

Sukma Selangor 2026 menghimpunkan lebih 5,000 atlet daripada 14 negeri dan Brunei yang bakal berentap dalam 469 acara membabitkan 37 jenis sukan sepanjang temasya.

Penganjuran kali ini bukan sahaja mengembalikan Selangor sebagai pusat tumpuan sukan negara selepas hampir tiga dekad, malah menyediakan pentas buat bakat muda terbaik tanah air memburu kegemilangan serta mencipta nama di temasya sukan terbesar peringkat kebangsaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |