KEJOHANAN berprestij, Piala Emas Raja-Raja (PERR) edisi ke-104 tahun ini tampil dengan beberapa pembaharuan termasuk penyertaan pasukan jemputan dan kelab agar lebih relevan dengan perkembangan bola sepak ketika ini.
Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed berkata, pendekatan itu penting memandangkan sebahagian pasukan negeri sudah melalui proses penswastaan.
Justeru, situasi itu membuka ruang kepada kelab yang aktif untuk mengambil bahagian dalam PERR kali ini.
“Kita menggalakkan penyertaan kelab, tetapi kita akan pastikan kelab yang dipilih itu betul-betul terlibat aktif dalam bola sepak, berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan dan berpengalaman. Kita ada syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya.
Edisi kali ini menyaksikan 16 pasukan mengesahkan penyertaan, termasuk pasukan jemputan seperti Penang Flex, UM Damansara United dan Bomba yang turut diundang seperti kelaziman sebelum ini.
Selain itu, Mohd Firdaus turut mengesahkan Anugerah Bola Sepak Melayu bakal diperkenalkan buat julung kali bagi mengiktiraf pemain dan pengurusan terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.
Mohd Firdaus berkata, anugerah berkenaan dicadangkan oleh Yang di-Pertua Melaka yang juga penaung persatuan, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam untuk memberi nafas baharu kepada kejohanan.
Katanya, pengenalan anugerah itu mencerminkan usaha PBMM melakukan revolusi terhadap PERR supaya kejohanan berkenaan tidak lagi terikat dengan pendekatan lama, sebaliknya bergerak seiring perkembangan bola sepak semasa.
“Walaupun berstatus amatur, kita tidak boleh terus berada di takuk lama. Disebabkan peredaran zaman, kita terpaksa ikut arus perubahan dan persatuan bola sepak negeri-negeri juga perlu ikut serta,” katanya.
Piala Agong yang menemukan Selangor dan Kuala Lumpur diadakan pada 13 September pula dijadikan medan pembukaan musim sebelum kempen PERR bermula pada 20 September depan. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
4














































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)

