Perisai Komuniti: Maresca buru trofi pertama legasi

5 hours ago 3

CARDIFF – Enzo Maresca menganggap aksi Perisai Komuniti menentang Arsenal di Stadium Millenial, malam ini bukan sekadar pemanas badan sebaliknya percaya pertembungan itu membuka peluang pertama untuk menghadiahkan trofi kepada Manchester City.

Sebagai rekod, pengendali kelahiran Itali itu bakal membuat penampilan debut kompetitif dengan mengemudi City buat kali pertama selepas dilantik mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Pep Guardiola.

Menurut Maresca, cabaran untuk pasukannya kali ini tidak mudah kerana The Gunners dibawah kendalian Mikel Arteta mempunyai momentum selaku juara Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Bagi saya, Perisai Komuniti adalah trofi berprestij. Apabila trofi dan final ada di depan mata, anda sentiasa mahu memenangi perlawanan tersebut.

“Ini langsung bukan perlawanan persahabatan. Kami akan cuba sedaya upaya untuk menang dan menjulang trofi pertama.

“Mengenai Arsenal, mereka sudah membuktikan dalam tempoh dua, tiga, empat atau lima tahun kebelakangan ini bahawa mereka sentiasa berada di atas.

“Mereka pasukan hebat dan diurus dengan baik oleh Arteta. Tahun lalu mereka memenangi EPL dan menunjukkan betapa bagusnya mereka.

“Tetapi kami adalah City yang tidak kurang hebatnya dan saya akan cuba merapatkan jurang serta kembali bersaing,” katanya.

Mengulas lanjut, Maresca turut mengesahkan Erling Haaland tidak berdepan masalah serius selepas penyerang Norway itu diketepikan daripada sebahagian sesi latihan.

“Haaland ada sedikit kesakitan di belakang tumit, tetapi dia baik-baik sahaja dan sedia untuk diturunkan,” katanya.

Sementara itu, rekrut baharu City, Elliot Anderson teruja untuk memulakan kehidupan di bawah Maresca dan mahu menjadi sebahagian penting pasukan.

“Saya akan cuba mengemudi di bahagian tengah, memberikan ketenangan dan membantu semua orang.

“Harap kehadiran saya dapat membuatkan penyokong teruja dan fokus saya adalah untuk bantu pasukan memenangi perlawanan ini,” katanya. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |