MELAKA – Masyarakat kini dilihat semakin cakna dan teliti terhadap spesifikasi Jalur Gemilang termasuk aspek bilangan jalur serta susunan warna pada bendera kebangsaan itu, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata perkara itu menunjukkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan menghormati Jalur Gemilang semakin meningkat, khususnya pada Bulan Kebangsaan.
“Setakat ini (aduan) tidak ada yang terbaharu dan saya juga melihat dalam kalangan orang ramai lebih prihatin, lebih mengambil maklum, dan saya lihat sekarang ramai apabila mereka melihat Jalur Gemilang, mereka akan mula kira ada berapa jalur? Jalur yang terakhir itu putih ke tidak?
“Jadi, sudah jadi satu kebiasaan untuk kita perbetulkan dan ambil sikap untuk menasihati,” katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Kasih di sini hari ini.
Fahmi berkata beliau turut mengambil maklum mengenai insiden membabitkan Jalur Gemilang yang didakwa tidak lengkap di Batu Buruk, Terengganu, namun menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa kerana ia sedang disiasat.
Beliau turut menarik perhatian mengenai trend baharu pemilik kenderaan yang kini lebih gemar menggunakan pelekat bermagnet Jalur Gemilang berbanding bendera fizikal bagi mengelakkan kerosakan pada cat atau badan kenderaan.
“Satu trend yang mungkin sedikit berbeza tahun ini apabila ramai juga yang mula memasang (stiker) magnet. Mereka tidak melekatkan bendera pada kenderaan tetapi meletakkan (stiker) magnet. Jadi ini juga satu perkara yang agak baik, agak positif, dan mungkin menyenangkan untuk pemilik kenderaan,” katanya.
Mengenai persiapan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Fahmi memaklumkan segalanya berjalan lancar merangkumi persiapan kontinjen, pengurusan grafik manusia oleh Kementerian Pendidikan (KPM) serta aspek logistik di Putrajaya.
Beliau berkata satu mesyuarat penyelarasan sambutan Hari Kebangsaan akan diadakan esok manakala mesyuarat berkaitan sambutan Hari Malaysia dijadualkan pada 24 Ogos ini secara dalam talian.
“Setakat ini maklum balas yang saya terima, terutama daripada kontinjen-kontinjen yang akan menghantar peserta, daripada pihak KPM untuk grafik manusia yang akan disediakan ataupun persiapan di pihak Perbadanan Putrajaya, semuanya nampaknya berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata terdapat dua acara besar pada malam Ambang Merdeka di ibu kota iaitu di Stadium Merdeka anjuran Kementerian Perpaduan Negara yang akan menyaksikan ucapan khas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta acara di Dataran Merdeka anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Terdahulu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI meluangkan masa menziarahi dua pesakit strok warga emas iaitu R. Sathia Devi, 70, di Pangsapuri Kiara, Batu Berendam dan Abu Zarin Nordin, 64, di Kampung Tun Razak, Bukit Katil.
Beliau berkata lawatan itu bertujuan meneliti bantuan lebih terperinci yang diperlukan penerima seperti keperluan susu, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta rawatan rehabilitasi.
“Saya akan panjangkan maklumat ini dan mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Penerangan yang mengenal pasti keluarga-keluarga memerlukan. Kita akan susuli dengan beberapa tindakan termasuk rawatan alternatif termasuk akupunktur,” katanya. – BERNAMA

3 hours ago
7













































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)


