SHAH ALAM – Penyanyi Hussain menyifatkan perjalanan kerjaya seninya sejak bertanding di pentas Talk To My Manager 2 (TTMM2) sehingga bergelar juara Big Stage Rocketfuel bukan mudah termasuk perlu berdepan dengan pelbagai dugaan yang menjadi lumrah anak seni.
Meski mental dan fizikal berasa lelah, Hussain, 23, berkata, dia akan merindui momen selama 18 bulan berjuang dalam program realiti TTMM2 dan Big Stage Rocketfuel.
“Berada di posisi saya sejak bertanding TTMM2 dan Big Stage Rocketfuel sangat penat sehingga rasa nak tidur selama dua hari.
“Kalau boleh, nak tidur kemudian bangun dan tidur semula.
“Perjalanan masuk pertandingan sangat sukar tetapi hendak buat macam mana. Semua ini yang akan saya rindukan nanti,” katanya kepada Kosmo! Online selepas konsert akhir Big Stage Rocketfuel di sini, semalam.
Dia bagaimanapun enggan fasa (rehat) tersebut terlalu lama kerana bersemangat meneruskan kerjaya seni yang baru bermula kerana enggan menghampakan keluarga dan peminat.
“Saya tidak akan berehat terlalu lama kerana masih muda, selagi ada tenaga memang ingin terus berusaha.
“Lagipun, tujuan utama meneruskan semua ini adalah untuk membanggakan emak, abah dan peminat saya,” ujar naib juara TTMM2 itu.
Ditanya mengenai perancangan menguruskan wang kemenangan berjumlah RM30,000, dia merancang untuk melabur kepada para peminat yang banyak menzahirkan sokongan sepanjang TTMM2 dan Big Stage Rocketfuel.
“Benda pertama, saya nak guna duit kemenangan itu untuk anjur sesi ‘meet & greet’ bersama peminat.
“Memang sudah ada niat untuk buat sejak TTMM2 lagi tetapi belum berkesempatan. Saya sudah berhutang budi dengan peminat dan sebab itu mahu anjurkan ‘meet & greet’.
“Nak ajak makan durian agak ‘makan’ modal, jadi saya belanja nasi lemak mak saya, ‘nasi lemak buckle up'” jelasnya.
Dalam pada itu, dia juga sempat mengulas mengenai hantaran media sosialnya iaitu membuat permohonan maaf kepada khalayak sebelum konsert final semalam.
Katanya, perkataan maaf sudah menjadi sebahagian daripada dirinya ketika ini.
“Mengenai ‘saya minta maaf’ itu, sepertinya sudah menjadi trademark saya.
“Kalau ada yang tidak suka, saya minta maaf sahaja kerana tidak ambil hati, biarlah mereka mahu cakap apa pun.
“Apabila kita dimaafkan, mungkin mereka akan terfikir kembali tentang perbuatan sendiri,” ujarnya lagi.
Semalam, anak kepada penyanyi veteran, Jamilul Hayat itu menerima kontrak Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM100,000, wang tunai RM30,000, sebuah single dan trofi sumbangan Astro.
Pada konsert akhir yang berlangsung di Dewan Auditorium MBSA, Hussain mendendangkan lagu Seniman Menangis nyanyian asal bapa saudaranya yang juga penyanyi Datuk Jamal Abdillah. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
8













































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)


