PETALING JAYA – Kecoh di media sosial selepas sebuah kedai emas di Genting Highlands didakwa dirompak sehingga kawasan peranginan itu dikatakan dikenakan sekatan pergerakan sementara, hari ini.
Dakwaan itu dikongsikan seorang pengguna Threads dikenali sebagai @j00raaaa menerusi satu hantaran yang turut memuat naik rakaman video suasana di sebuah pusat beli-belah di kawasan berkenaan.
“Kedai emas Genting kena rompak. Genting ‘lockdown’ buat sementara waktu,” tulisnya.
Rakaman tersebut memaparkan dua individu berpakaian hitam melarikan sebuah beg guni besar di dalam pusat beli-belah tersebut namun tidak menunjukkan kejadian rompakan berkenaan secara langsubg.
Menjawab pertanyaan pengguna lain, pemilik akaun berkenaan mendakwa pengunjung ketika itu tidak dibenarkan turun dan memaklumkan Genting sedang melaksanakan sekatan perjalanan.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna Threads, @shaqiera_abhamid mendakwa mengalami kesesakan teruk ketika mahu turun dari Genting Highlands selepas mendaftar keluar dari penginapan kira-kira pukul 12 tengah hari.
Menurutnya, sehingga pukul 1 petang, kenderaannya masih belum sampai ke kawasan bawah berikutan kesesakan teruk menghala turun.
“Kemas kini pukul 1.15 petang, ada sekatan polis dekat rumah kawalan. Lepas itu masih tersangkut lagi. Mungkin ada lagi sekatan polis di bawah,” katanya.
Seorang pengguna lain, @faridaspar turut mendakwa melihat sekatan jalan raya dengan pemeriksaan dilakukan terhadap kenderaan yang melalui kawasan terbabit.
“Nampak ada sekatan. Dia periksa semua kereta, bonet. Tapi macam lambat dia nak bagi jalan. Ada kes ke?” katanya.
Seorang lagi pengguna, @fennylow_ pula mendakwa dimaklumkan polis mengenai satu kes rompakan besar di kawasan tersebut selain terperangkap dalam kesesakan selama kira-kira 30 minit.
Setakat ini, belum terdapat pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai dakwaan rompakan tersebut termasuk sama ada sekatan sementara benar-benar dilaksanakan susulan kejadian berkenaan.– KOSMO! ONLINE

4 hours ago
5













































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)


