ALOR SETAR – “Abang mungkin tak mampu tolong orang dengan duit tapi abang masih ada keringat untuk bantu orang.”
Itu kata-kata Allahyarham Mohd Khairil Jamaludin, 44, yang sering disuarakan kepada isterinya, Nor Asmani Ahmad, 44, sebelum lelaki itu disahkan mengalami kematian otak dalam ujian kali kedua pada 12 Ogos lalu.
Menurut Nor Asmani, suaminya yang bekerja sebagai pemandu e-hailing merupakan seorang yang pendiam, namun sering menyuarakan hasrat untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan.
“Saya pegang pada percakapannya yang sering mahu membantu orang dengan keringatnya. Menerusi pendermaan organ ini, arwah dapat membantu orang yang memerlukan walaupun setelah pemergiannya.
“Saya reda dengan ketentuan ini dan sentiasa berdoa buat arwah dan juga kepada penerima buah pinggang supaya dapat menjalani kehidupan dengan baik,” katanya ketika ditemui di Taman Kelana, di sini hari ini.
Katanya, dia pada awalnya tidak terfikir untuk mendermakan organ suaminya, namun kata-kata seorang jururawat mengubah pendiriannya apabila memaklumkan mungkin Allah memilih arwah untuk membantu orang lain terus hidup.
“Ayat itu sangat mendalam dan saya rasa Allah gerakkan hati saya sebelum saya berbincang dengan keluarga serta mendapatkan penjelasan mengenai hukum pendermaan organ menurut Islam sebelum kami semua bersetuju,” ujarnya yang bekerja sebagai pembantu tadbir di Maktab Mahmud Alor Setar.
Ujarnya, pemergian suaminya berlaku terlalu pantas kerana arwah sebelum ini sihat dan tidak mempunyai penyakit kronik tiba-tiba mengadu pening pada petang 9 Ogos lalu sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini untuk rawatan.
“Keadaan suami merosot setelah dia muntah dan diserang sawan. Selepas itu dia diintubasi dan tidak lagi sedarkan diri. Pemeriksaan lanjut mendapati berlaku kerosakan serius pada otak sebelum dua ujian mengesahkan dia mengalami kematian otak,” jelasnya.
Prosedur pengambilan organ dilakukan kira-kira pukul 3 pagi, 13 Ogos lalu di HSB dengan doktor memaklumkan kedua-dua buah pinggang arwah berada dalam keadaan baik dan sesuai didermakan kepada pesakit yang memerlukan.
Tambahnya, arwah suaminya juga diberikan penghormatan sebagai penderma organ menerusi walk of honour sebelum pemindahan dilakukan pada sambutan Hari Pendermaan Organ Sedunia dengan bangunan HSB turut diterangi cahaya hijau.
“Alhamdulillah, saya dan beberapa ahli keluarga lain berhasrat untuk berikrar sebagai penderma organ selepas ini,” katanya yang mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga HSB serta Pasukan Transplan Hospital Selayang atas segala usaha, rawatan, bantuan dan ihsan yang diberikan.
Sementara itu, anak tunggal arwah, Muhammad Harith Mirza, 17, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Sains Pokok Sena berkata, dia turut berhasrat mengikuti jejak arwahnya bapanya untuk menjadi penderma organ. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
5













































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)


