KUALA LUMPUR – Hasrat beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk memburu gelaran ketiga dalam empat kejohanan terakhir tidak kesampaian apabila tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia.
Pada perlawanan yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi, gandingan No.3 dunia itu terpaksa akur dengan kekalahan tiga set 13-21, 21-19, 18-21 kepada beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.
Keputusan itu turut meranapkan harapan Aaron-Wooi Yik untuk merangkul gelaran keempat mereka musim ini selepas muncul juara Kejohanan Badminton Asia (BAC), Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.
Faktor kepenatan mungkin sudah mula menguasai bekas juara dunia itu selepas beraksi dalam empat kejohanan berturut-turut sejak Terbuka Thailand di Bangkok bulan lalu.
Bagaimanapun, kekecewaan peminat badminton tanah air sedikit terubat apabila perseorangan lelaki, Leong Jun Hao serta dua beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai dapat meneruskan kemaraan.

Jun Hao menewaskan pemain tuan rumah, Chico Aura Dwi Wardoyo 21-13, 21-12 manakala Tang Jie-Ee Wei menundukkan Dhruv Kapila-Tanisha Crasto dari India 21-11, 16-21, 21-14 dan Soon Huat-Shevon menang 21-12, 21-16 ke atas beregu Thailand, Phuwanat Horbanluekit-Sapsiree Taerattanachai.
Dua beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah dan Carmen Ting-Ong Xin Yee turut melepasi pusingan pertama selepas berjaya menewaskan lawan masing-masing.
Bagaimanapun, beberapa lagi wakil negara termasuk dua beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Choong Hon Jian-Haikal Nazri serta beregu wanita, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing gagal melangkah ke pusingan kedua. – KOSMO! ONLINE