Tengku Maimun zahir ucapan terima kasih pada tugasan hari terakhir

5 hours ago 2

PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak pada hari terakhir beliau berkhidmat sebagai hakim tertinggi negara di Mahkamah Persekutuan, hari ini.

Tengku Maimun menyampaikan ucapan terima kasih itu bagi mewakili dirinya dan seorang lagi hakim Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang turut bersara wajib lusa.

“Segala sokongan yang diberikan oleh anda semua semasa kami menghadapi cabaran, apabila institusi kehakiman diserang. Kami boleh katakan kami dipertahankan oleh Majlis Peguam serta beberapa pihak dan individu lain.

“Untuk itu, saya amat bersyukur. Terima kasih atas segala ucapan yang baik. Hari ini adalah hari terakhir Tengku Maimun berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara manakala manakala Abang Iskandar bersara wajib esok,” katanya.

Terdahulu Badan Peguam Malaysia serta barisan peguam memyampaikan penghargaan menjelang persaraan kedua-dua hakim itu masing-masing pada 2 dan 3 Julai ini.

Empat peguam secara bergilir-gilir selama kira-kira 19 minit bangun selepas prosiding kes pertama berakhir di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini untuk menyampaikan penghargaan kepada Tengku Maimun dan Abang Iskandar sebagai satu penghormatan dan penghargaan.

Naib Presiden Badan Peguam Malaysia, Anand Raj bangun terlebih dahulu memberikan penghormatan dan ucapan kepada dua tokoh tertinggi kehakiman negara dan meraikan legasi mereka.

Anand berkata, Badan Peguam ingin merakamkan setinggi penghargaan atas kepimpinan Tengku Maimun dan perkhidmatan cemerlang beliau, sambil menyatakan bahawa beliau adalah wanita pertama yang memegang jawatan Ketua Hakim Negara, selain pelbagai sumbangan terhadap institusi kehakiman negara.

Anand berkata, penghargaan Badan Peguam kepada kedua-dua tokoh itu kerana integriti dalam pengendalian prosiding mahkamah, bukannya berdasarkan keputusan sesuatu kes selain Abang Iskandar adalah hakim pertama dari Sabah dan Sarawak yang memegang jawatan Presiden Mahkamah Rayuan, iaitu jawatan kedua tertinggi dalam institusi kehakiman.

“Badan Peguam Malaysia ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Arif dan bagi pihak seluruh komuniti guaman, kami mengucapkan terima kasih atas 42 tahun kepimpinan cemerlang anda. Anda berkhidmat dengan penuh kehormatan, memimpin dengan kebijaksanaan, dan menginspirasi dengan integriti,” katanya.

Sementara peguam kanan, Datuk Gurdial Singh Nijar turut menyampaikan penghargaan kepada kedua-dua tokoh kehakiman itu.

Gurdial berkata, di bawah kepimpinan Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara, kredibiliti kehakiman berjaya dipulihkan dan mencapai tahap setanding dengan institusi kehakiman terbaik di negara Komanwel serta menghapuskan titik hitam krisis kehakiman 1988. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |