Tang Jie hargai ganjaran, buru emas Olimpik

8 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Jaguh beregu campuran negara, Chen Tang Jie menerima insentif lumayan bernilai RM100,000 daripada Senheng sebagai ganjaran atas kejayaan bergelar juara dunia bersama Toh Ee Wei pada Kejohanan Dunia 2025 di Paris bulan lalu.

Turut diraikan, pasangannya Ee Wei yang menerima produk elektronik bernilai RM25,000 dalam majlis penghargaan khas di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, petang tadi.

Tang Jie yang juga bekas penerima Biasiswa Bakat Badminton Remaja SS tajaan Senheng dan Petaling Badminton Club (Petaling BC), menegaskan sokongan program itu sejak usia 15 tahun menjadi antara faktor utama kejayaannya hari ini.

“Saya berada dalam program ini sejak umur 15 tahun dan tanpa sokongan Encik Lim (Kim Heng), saya tidak mungkin berada di tahap ini, saya sangat menghargainya,” kata Tang Jie.

Pemain itu turut mengakui pengorbanan jurulatih dan program pembangunan akar umbi membentuk dirinya sebagai atlet berdisiplin hingga mampu melakar sejarah negara.

“Kalau bukan kerana program ini dan jurulatih yang membimbing saya sejak awal, saya rasa saya tidak mungkin bergelar juara dunia hari ini. Ganjaran ini bukan sahaja penghargaan tetapi juga motivasi untuk saya melangkah lebih jauh,” ujarnya.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Senheng, Lim Kim Heng turut mengumumkan janji ganjaran RM1 juta andai Tang Jie berjaya meraih pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Tawaran sama turut diberikan kepada alumni lain termasuk Soh Wooi Yik serta Man Wei Chong.

Bagi Tang Jie, sasaran Olimpik kini menjadi motivasi paling besar buatnya dan Ee Wei selepas kejayaan sulung di pentas dunia.

“Pingat emas Olimpik adalah impian setiap negara. Jadi kami akan berjuang habis-habisan untuk diri sendiri dan Malaysia bagi menghadiahkan emas pertama itu,” tambah Tang Jie. KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |