PETALING JAYA – Pelakon Datuk Aaron Aziz menyelar tindakan seorang pempengaruh yang memperlekehkan beberapa jurusan di pusat pengajian tinggi dengan dakwaan program bodoh dan tiada hala tuju.
Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 49, berkata individu menggunakan panggilan DMA Islam itu hakikatnya tidak selari dengan namanya, selain ‘buta’ mengenai bidang pengajian Komunikasi Massa, Teater, Muzik dan Tarian.
“Nama guna DMA Islam. Tapi tak habis-habis kutuk-kutuk orang macam lah kau terpaling profesor (serba bijak).
“Buang sahaja nama ‘Islam’ kalau kau nak burukkan seni orang lain,” katanya dalam hantaran Reels Instagram.
Menurut Aaron, aliran komunikasi serta seni sama penting seperti bidang lain apabila turut membantu menjana ekonomi negara termasuk menerusi filem box-office.
Bahkan, kata pelakon filem KL Gangster itu, pembangunan dalam industri hiburan tanah air juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
“Industri ‘Mass Communication’ inilah yang menaikkan industri filem (mencecah kutipan) ratusan juta,” ujarnya.
Terdahulu, perkongsian pempengaruh yang mendakwa pelajar jurusan disebutkan hanya mahu bersosial dan tidak berminat untuk belajar mengundang polemik.
Begitupun, rata-rata meminta orang ramai tidak melatah kerana tujuan sebenar mengeluarkan konten kontroversi adalah untuk ditularkan.
Malah, sebilangan besar pengikut Aaron meminta agar netizen melaporkan akaun tersebut kepada pengendali kerana disifatkan menghina dan memprovokasi.
“Saya tengok dia macam tak betul je. Report sahaja. Selesai,” tulis seorang peminat.
“Abang Aaron, saya rasa dia ni anak syurga. Minta jangan layanlah,” ujar pengikut lain.
Aaron antara selebriti yang lantang dan menggunakan laman sosial sebagai medan meluahkan pandangan terhadap sesuatu isu. – KOSMO! ONLINE