PUTRAJAYA – Pelakon dan usahawan terkenal, Fattah Amin memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menabur fitnah terhadapnya dan juga orang lain di media sosial.
Menurut Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin, 35, gara-gara fitnah reputasinya terjejas dan nekad untuk mengambil tindakan undang-undang buat kali pertama terhadap pemfitnah.
“Sebelum ini saya tidak ambil kisah apa sahaja orang bercakap tentang diri saya namun apabila fitnah yang dilemparkan bukan sahaja menjejaskan reputasi saya, tetapi juga keluarga, anak dan juga karier saya terpaksa ambil tindakan.
“Keputusan mahkamah hari ini boleh dijadikan amaran kepada orang ramai supaya tidak menabur fitnah tanpa bukti terhadap sesiapa sahaja,” katanya.
Fattah berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Nex To Palestin di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, hari ini.
Tambah Fattah, tindakan undang-undang yang diambil bukanlah untuk mempertahankan dirinya sahaja tetapi untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang tindakan yang boleh dikenakan terhadap mereka jika menyebarkan fitnah.
“Fitnah tidak elok dan tidak sepatutnya menjadi budaya dalam masyarakat kita, apatah lagi pada zaman media sosial berleluasa di mana sesiapa sahaja boleh kongsi berita tidak sahih.
“Saya selalu ingatkan jika perkara yang mahu disuarakan itu tidak baik, lebih baik diam. Sebut sahaja apa yang baik-baik,” ujarnya.
Bintang filem Pendekar Awang:Darah Indera Gajah itu turut menawarkan jalan penyelesaian yang lebih matang sekiranya ada individu tidak berpuas hati dengannya.
“Jika ada masalah, anda boleh hantar mesej. Saya ada pengurusan saya sendiri. Anda boleh berjumpa pengurus saya atau saya. Jangan sebarkan di media sosial,” katanya.
Dalam pada itu, Fattah memilih untuk tidak mengulas secara terperinci tuntutan ganti rugi sebanyak RM5 juta
“Saya tidak boleh ulas perkara ini kerana kes masih berjalan. Apa yang boleh saya katakan, semua yang saya lakukan adalah mengikut undang-undang,” jelasnya.
Terdahulu, pada hari ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan pasangan suami isteri yang juga pempengaruh media sosial iaitu Nuraien Adilla Hasha Akhbar atau lebih dikenali sebagai Elcah, 29, dan suaminya, Mohd Hafizzuddin Hamri, 29, menurunkan hantaran di Threads yang didakwa berunsur fitnah terhadap Fattah.
Menurut peguamnya, Mohd Faiz Iskandar Hamzah, permohonan injunksi sementara (ad-interim) difailkan Fattah diluluskan Hakim Datuk Anand Ponnudurai.
Untuk rekod, pada 26 Ogos lalu Fattah memfailkan saman terhadap pasangan tersebut berhubung kenyataan yang diterbitkan di Threads pada 29 Julai dan 22 Ogos 2025.
Kenyataan itu mendakwa Fattah berlaku curang ketika masih bergelar suami kepada pelakon Nur Fazura sehingga membawa kepada penceraian mereka.
Fattah dalam tuntutannya turut memohon injunksi bagi menghalang pasangan terbabit daripada terus mengeluarkan sebarang kenyataan fitnah, selain menuntut permohonan maaf tidak bersyarat di semua akaun media sosial milik mereka.
Pelakon itu turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk serta ganti rugi teladan berjumlah RM5 juta.
Mahkamah kemudian menetapkan 25 September ini bagi tarikh pengurusan kes seterusnya. – KOSMO! ONLINE