JITRA – Polis Kedah terus memperketatkan lagi kawalan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini bagi mengelak ia menjadi laluan alternatif kepada sindiket penyeludupan termasuk dari Pantai Timur.
Ketua Polis negeri, Datuk Adzli Abu Shah berkata, langkah tersebut ekoran tindakan polis Kelantan merobohkan pengkalan haram di sepanjang sungai yang bersempadan dengan Thailand.
Katanya, ia juga susulan tindakan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang memperketatkan kawalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). “Saban hari, saya lihat rakan sejawat saya terutama Ketua Polis Kelantan sudah merobohkan jeti haram, manakala Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain telah memperketatkan KLIA.
“Jadi, saya dah arahkan seluruh pegawai dan anggota supaya terus memperketatkan sempadan dan kita tidak mahu Bukit Kayu Hitam dan Padang Terap dijadikan laluan alternatif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan kenderaan lucut hak di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba, di sini hari ini.
Kata Adzli, pada bulan lalu, pihaknya berjaya mematahkan dua kes penyeludupan migran warga Indonesia dari negara jiran menerusi Bukit Kayu Hitam.
“Agak pelik sebab migran dari Indonesia ini masuk ke Kedah melalui Thailand. Ini yang saya kata petunjuk yang kita sudah sedar kenapa dari Indonesia nak masuk Malaysia, lalu Bangkok masuk Bukit Kayu Hitam,” ujarnya.
Jelasnya, penguatkuasaan diperketatkan dengan pelbagai strategi dan salah satunya adalah melakukan sekatan jalan raya pada hari cuti hujung minggu dan cuti umum iaitu ketika aliran keluar masuk tinggi.
“Ini kerana hasil risikan kita, penyeludup ini mengambil kesempatan semasa aliran tinggi pelancong di pintu sempadan,” ujarnya.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Adzli memberi amaran keras kepada penduduk yang menjadi tali barut kepada sindiket penyeludupan di sempadan.
Katanya, tiada kompromi kepada penduduk yang menjadi tali barut, sama ada sebagai pemberi maklumat kepada sindiket penyeludupan mahupun transporter.
“Jika ada bukti, tindakan tegas akan diambil, seperti kes dadah sebelum ini yang mana penduduk di sempadan itu kita tangkap dan tuduh bawah 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Tak ada alasan termasuklah naik teksi atau motosikal walaupun kata cari rezeki dengan bawa teksi atau motosikal, tetap akan dikenakan tindakan tegas,” tegasnya.
Beliau pada masa sama menyeru orang ramai terutama penduduk di sempadan yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan menyalahi undang-undang agar menyalurkannya kepada pihak polis dengan identiti mereka dirahsiakan.
Kosmo! pada kelmarin melaporkan sindiket penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand melalui Perlis kini semakin berani apabila mereka mempergunakan segelintir penduduk tempatan untuk dijadikan tali barut bagi melancarkan kegiatan haram tersebut. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
2













![[VIDEO] ASEAN ke-47: Trump tiba di KLCC, lambai petugas media](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/WhatsApp-Image-2025-10-26-at-11.08.55.jpeg)

![[VIDEO] Trump tiba di Malaysia, hadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/WhatsApp-Image-2025-10-26-at-10.09.58-e1761445129382.jpeg)

































