KUALA LUMPUR – Kemasukan Timor-Leste sebagai ahli blok ke-11 ASEAN adalah permulaan baharu untuk negara itu dalam membuka peluang di bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan dan ekonomi digital.
Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão berkata, dalam hal ini, mereka bersedia untuk belajar, berinovasi dan menegakkan tadbir urus yang baik sambil memperkukuh institusi ke arah pembangunan mampan.
“Ini bukan penamat perjalanan kami, tetapi permulaan bab baharu yang memberi inspirasi. Timor-Leste menyertai ASEAN dengan rendah hati dan penuh kebanggaan, sambil menghayati sepenuhnya nilai-nilai teras ASEAN iaitu saling menghormati, kerjasama aman, perpaduan dalam kepelbagaian, dan solidariti serantau.
“Kami melihat keanggotaan ASEAN ini sebagai satu hubungan semula jadi berpaksikan budaya dan geografi kami serta satu keperluan strategik bagi masa depan negara kami,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Deklarasi Penyertaan Timor-Leste sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Gusmão berkata, bagi rakyat Timor-Leste, kemasukan sebagai anggota ASEAN bukan sekadar impian yang menjadi kenyataan, tetapi pengiktirafan besar terhadap satu perjalanan dengan penuh ketabahan, tekad dan harapan.
“Perjalanan kami untuk menjadi anggota penuh adalah panjang dan bermakna. Sejak memohon pada tahun 2011, kami telah memperkukuh institusi, mereformasi dasar dan meningkatkan kesiapsiagaan berpandukan kebijaksanaan, sokongan dan kesabaran ASEAN serta para rakan sekutu.
“Kemasukan kami ini bukti semangat rakyat dan sebuah demokrasi muda yang lahir daripada perjuangan. Kini kami melangkah ke era baharu kerjasama dan pertumbuhan dalam salah satu rantau paling dinamik di dunia,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Timor-Leste melangkah masuk ke ASEAN dengan komitmen penuh terhadap Piagam ASEAN serta bersedia menjadi anggota yang konstruktif, aman dan berdedikasi.
“Kami berikrar untuk bekerjasama dengan semua negara anggota bagi mengekalkan rantau ini dengan aman, terbuka dan makmur serta menyumbang dalam usaha memperkukuh ketahanan, mendalamkan perpaduan dan memastikan tiada sesiapa yang tertinggal,” katanya. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
2













![[VIDEO] ASEAN ke-47: Trump tiba di KLCC, lambai petugas media](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/WhatsApp-Image-2025-10-26-at-11.08.55.jpeg)

![[VIDEO] Trump tiba di Malaysia, hadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/WhatsApp-Image-2025-10-26-at-10.09.58-e1761445129382.jpeg)

































