Moto3 ditangguhkan ekoran kemalangan ngeri Rueda-Dettwiler 

3 hours ago 1

SEPANG – Perlumbaan kelas Moto3 Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) terpaksa ditangguhkan sementara ekoran berlaku insiden ngeri melibatkan Juara Dunia 2025, Jose Antonio Rueda dan pelumba Switzerland, Noah Dettwiler, sebentar tadi.

Insiden itu berlaku ketika semua pelumba sedang melengkapkan pusingan ‘Sighting Lap’, sebelum kembali ke petak perlumbaan masing-masing bagi memulakan perlumbaan yang berlangsung pada 12 tenghari.

Rueda, yang menunggang jentera Red Bull KTM Ajo, dipercayai melanggar bahagian belakang motosikal milik Dettwiler dari pasukan CIP Green Power yang dilihat menunggang secara perlahan.

Impak pelanggaran tersebut begitu kuat sehingga menyaksikan kedua-dua pelumba terpelanting memaksa bendera merah (red flag) dikibarkan serta-merta bagi menghentikan perlumbaan sebelum ia sempat dimulakan.

Suasana di litar bertukar panik apabila pasukan keselamatan dan perubatan bergegas ke lokasi kejadian untuk memberi rawatan kecemasan kepada kedua-dua pelumba.

Menurut kenyataan rasmi MotoGP, kedua-dua pelumba dilaporkan berada dalam keadaan sedar, namun tahap kecederaan sebenar masih belum disahkan.

“Riders #99 Rueda dan #55 Dettwiler telah dihantar ke hospital tempatan menggunakan helikopter,” menurut kenyataan Pengarah Perlumbaan.

Selepas penilaian keselamatan dibuat, pihak penganjur mengesahkan bahawa perlumbaan Moto3 akan dimulakan semula pada 1.40 petang dengan hanya 10 pusingan berbanding 15 pusingan asal.

Perlumbaan MotoGP kekal berlangsung pada jam 3 petang, manakala Moto2 ditunda ke jam 4.30 petang bagi memastikan keselamatan pelumba dan keadaan trek berada dalam tahap terbaik sebelum diteruskan.

Untuk rekod, Dettwiler, yang sudah dua musim bersama CIP Green Power, dijangka akan digantikan musim depan oleh pelumba Sepanyol, Adrian Cruces, yang menyerlah sebagai pelumba gantian dengan menamatkan saingan di tempat kelapan di Texas awal musim ini. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |