Trump naikkan tarif 10 peratus ke atas Kanada

4 hours ago 1

WASHINGTON – Presiden Donald Trump mengumumkan kenaikan tarif sebanyak 10 peratus ke atas barangan import Kanada selepas wilayah Ontario menyiarkan iklan antitarif yang memaparkan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Ronald Reagan, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC). 

Trump menyifatkan kempen tersebut sebagai palsu sambil mengkritik pegawai Kanada kerana tidak menurunkan iklan menjelang kejohanan Siri Dunia Besbol.

“Iklan mereka sepatutnya dipadamkan segera tetapi mereka membiarkannya disiarkan malam tadi (kelmarin) semasa siri dunia meskipun mengetahui bahawa ia adalah palsu,” kata Trump di platform Truth Social.

“Oleh kerana salah nyata fakta yang serius dan tindakan bermusuhan, saya akan menaikkan tarif ke atas Kanada sebanyak 10 peratus melebihi apa yang mereka bayar sekarang,” tambahnya.

Iklan itu menggunakan petikan daripada ucapan radio mengenai perdagangan yang disampaikan oleh Reagan pada tahun 1987, di mana beliau memberi amaran bahawa implikasi tarif tinggi ke atas import asing boleh memberi kesan kepada ekonomi AS.

Ketua Menteri Ontario, Doug Ford berkata, beliau akan menghentikan sementara kempen iklan antitarif itu selepas berbincang dengan Perdana Menteri Mark Carney agar rundingan perdagangan dapat disambung semula. 

Bagaimanapun, ia disiarkan semula pada malam Sabtu semasa perlawanan kedua besbol antara pasukan Kanada, Toronto Blue Jays dengan pasukan AS, Los Angeles Dodgers. 

Kanada merupakan satu-satunya negara Kumpulan Tujuh (G7) yang masih belum memeterai perjanjian dengan AS sejak Trump mengenakan tarif tinggi terhadap beberapa rakan dagang utamanya.

AS telah mengenakan levi sebanyak 35 peratus ke atas semua barangan Kanada meskipun kebanyakannya dikecualikan di bawah perjanjian perdagangan bebas sedia ada. 

Ia juga telah mengenakan levi khusus sektor ke atas barangan negara itu termasuk levi 50 peratus ke atas logam dan 25 peratus ke atas automobil. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |