David Balisong dipercayai sewa bilik hotel bersama empat pengembara

4 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Remaja warga Britain, David Balisong yang ditemukan selamat di sebuah hotel dipercayai tinggal di sebuah bilik bersama empat pengembara sejak 14 Julai lalu.

Aktivis Uncle Kentang atau nama sebenarnya, Kuan Chee Heng berkata, dia menerima maklumat daripada seorang individu memaklumkan melihat lelaki menyerupai David di hotel berkenaan.

Uncle Kentang berkata, dia kemudian terus menghubungi pihak berkuasa sebelum remaja itu ditemukan di salah sebuah bilik di hotel terbabit.

“Individu berkenaan menghubungi saya selepas membaca berita mengenai kehilangan remaja berkenaan. Remaja itu telah sewa bilik bersama empat rakan pengembara dari beberapa negara.

“Saya berterima kasih kepada pihak polis Kuala Lumpur kerana bertindak pantas dalam perkata ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, media melaporkan David yang dilaporkan hilang sejak Jun lalu ditemui selamat.

David ditemui di sebuah hotel di Jalan Pudu, ibu negara oleh sepasukan polis kira-kira pukul 7 malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Sebelum ini ibu kepada David merayu rakyat Malaysia agar membantu dirinya dan pihak polis untuk mencari anaknya yang hilang tanpa jejak sejak tiga bulan lalu.

Balisong, seorang pelajar cemerlang dari Cheadle, Greater Manchester, meninggalkan rumah pada awal pagi 6 Jun dan memberitahu abangnya dia mempunyai urusan di sekolah.

Sebaliknya, remaja itu seorang diri menaiki penerbangan dari Manchester ke Kuala Lumpur. Sejak itu, dia mematikan telefon dan tidak membalas e-mel.

Remaja itu sempat membuat pesanan melalui e-mel pada perhubungan terakhir dengan ibunya pada 9 Julai lalu.

Antara kandungan e-mel tersebut adalah luahan Balisong supaya jangan bimbang dan cuba mencarinya selain mendoakan kesemua ahli keluarga supaya berjaya dalam kehidupan serta memohon maaf kerana melakukan perkara ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |