Titah Adendum: Najib gagal mula prosiding komital terhadap bekas AG

9 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam permohonannya untuk mendapat kebenaran memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara (AG), Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh berkaitan isu Titah Adendum.

Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian selepas menolak permohonan Najib selaku pemohon.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan tarikh hari ini bagi keputusan selepas selesai mendengar hujah daripada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berhubung dakwaan berkaitan kewujudan titah berkenaan.

Sebelum ini, peguam Muhammad Shafee berhujah Najib mempunyai bukti mencukupi yang membolehkan beliau memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin berkaitan titah itu.

Katanya, Ahmad Terrirudin yang kini hakim Mahkamah Persekutuan mempunyai pengetahuan terhadap titah adendum, namun didakwa memilih untuk mengelirukan mahkamah.

Beliau berhujah, salinan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 itu yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, dialamatkan sendiri kepada Ahmad Terrirudin atas kapasitinya selaku Peguam Negara ketika itu.

“Waraqatul ikhlas Watah Fatul Akhyar iaitu daripada Beta, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Mudah-mudahan barang diwasalkan oleh Tuhan Seru Sekalian Alam ke Majlis Yang Berbahagia Datuk Ahmad Terrirudin bin Mohd Salleh, Peguam Negara Malaysia yang berada pada masa ini di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya dengan beberapa selamat dan sejahteranya…,” demikian menurut salinan tersebut.

Sementara, Shamsul pula berhujah, permohonan kebenaran semakan kehakiman Najib wajar ditolak kerana ia bukan sahaja tidak berasas, malah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Beliau menegaskan, hujahan peguam bahawa Peguam Negara menanggung tanggungjawab untuk berlaku jujur (duty of candour) pada peringkat permohonan kebenaran adalah tidak tepat.

“Responden tidak menanggung tanggungjawab untuk berlaku jujur pada peringkat kebenaran semakan kehakiman dan oleh itu tidak boleh dipersalahkan kerana tidak mengesahkan titah itu,” katanya.

Sebelum ini Najib membuat permohonan itu berdasarkan bukti bahawa Ahmad Terrirudin mempunyai pengetahuan terhadap Titah Adendum, namun didakwa memilih untuk mengelirukan mahkamah.

Najib memfailkan kebenaran memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin pada 21 Mei lalu atas alasan bekas Peguam Negara itu mempunyai pengetahuan berhubung titah adendum, namun bertindak mengelirukan mahkamah.

Salinan titah adendum bertarikh 29 Januari tahun lalu yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah diserahkan kepada anak Najib, Datuk Mohamad Nizar yang diperoleh daripada Pejabat Sultan Pahang.

Ia berkata, tambahan pula, melalui sepucuk surat bertarikh 4 Januari lalu, Majlis Kesultanan Pahang secara rasmi telah mengesahkan ketulenan dan kesahihan titah berkenaan.

Kandungan dokumen itu bukan sahaja mengesahkan kewujudan titah adendum dan titah diraja mengenai penahanan rumah, malah turut mendedahkan ia secara langsung ditujukan kepada Ahmad Terrirudin dalam kapasitinya sebagai Peguam Negara ketika itu untuk melaksanakannya.

Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |