KUALA LUMPUR – Keadaan fizikal remaja Britain yang hilang sejak Jun lalu berada dalam keadaan baik, namun sangat kurus.
Ibu remaja tersebut, Minerva Balisong, 50, berkata anaknya, David Balisong, 17, banyak kehilangan berat badan kerana hanya makan makanan segera.
“Keadaannya baik, dia hanya makan makanan segera dan banyak kehilangan berat badan, tetapi saya tahu itu memang dia,” katanya kepada Kosmo!
Minerva juga berkata, polis menemui David setelah rakan sebilik hotel yang didiami anaknya itu membuat laporan polis.
“Kami baru sahaja menemuinya dan saya sendiri tidak percaya. Rakan sebiliknya di hotel telah melaporkan tentang dirinya kepada pihak polis.
“Kami sedang menunggu pihak polis untuk mengambil keterangannya,” katanya.
Sementara itu, Minerva juga melahirkan rasa syukur dan gembira anak sulungnya selamat ditemui selain berharap David tidak terlibat dengan mana-mana sindiket penipuan pekerjaan.
Terdahulu, media melaporkan David yang dilaporkan hilang sejak Jun lalu ditemui selamat.
David ditemui di sebuah hotel di Jalan Pudu, ibu negara oleh sepasukan polis kira-kira pukul 7 malam tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Sebelum ini ibu kepada David merayu rakyat Malaysia agar membantu dirinya dan pihak polis untuk mencari anaknya yang hilang tanpa jejak sejak tiga bulan lalu.
Balisong, seorang pelajar cemerlang dari Cheadle, Greater Manchester, meninggalkan rumah pada awal pagi 6 Jun dan memberitahu abangnya dia mempunyai urusan di sekolah.
Sebaliknya, remaja itu seorang diri menaiki penerbangan dari Manchester ke Kuala Lumpur. Sejak itu, dia mematikan telefon dan tidak membalas e-mel.
Remaja itu sempat membuat pesanan melalui e-mel pada perhubungan terakhir dengan ibunya pada 9 Julai lalu.
Antara kandungan e-mel tersebut adalah luahan Balisong supaya jangan bimbang dan cuba mencarinya selain mendoakan kesemua ahli keluarga supaya berjaya dalam kehidupan serta memohon maaf kerana melakukan perkara ini. – KOSMO! ONLINE