Goran ‘bersara’ PDRM kini jadi haiwan peliharaan

8 hours ago 6

SUNGAI PETANI – Seekor anjing pengesan dari Unit K9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda yang diberi nama Goran menjadi anjing pertama diserahkan kepada penjaga baharu untuk dipelihara menerusi Program Adopsi K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Anjing baka German Shepherd dari Czechoslovakia itu kini berusia lapan tahun dan telah berkhidmat dengan PDRM selama enam tahun sebelum bersara pada 16 Julai tahun lalu atas nasihat doktor veterinar.

Ketua Penolong Pengarah D6 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Zuraimi Zam Zam berkata, program itu dilaksanakan selepas mendapat kelulusan rasmi Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 16 Julai lalu.

Goran membantu mengesan bahan kes di 60 lokasi kejadian jenayah, 213 kali membuat rondaan cegah jenayah dan 40 tugasan jaga aman.

Antara kejayaan K9 Goran yang membanggakan adalah membantu dalam penyelesaian satu kes bunuh di Kampung Batu 7, Binjul Luar, Kuala Ketil dekat sini pada tahun lalu.

Sementara itu, pengendalinya, Koperal M. Shivabalan, 38, berkata, dia melihat perubahan Goran yang telah bekerja bersamanya sejak hari pertama berada di negara ini enam tahun lalu, dalam keadaan murung dan tidak berselera makan seolah-olah tahu akan berpisah.

“Kami seperti adik dan abang, Goran sejak ditamatkan perkhidmatan menunjukkan perubahan ketara termasuk enggan berjauhan daripada saya.

“Saya yang menguruskan segala keperluan harian Goran, menjaga ketika sakit dan bekerja bersama pun turut terkesan dengan perpisahan ini, tetapi apakan daya, Goran alami masalah pada tulang pinggul,” katanya.

Penjaga baharu Goran yang juga pegawai polis, Inspektor Lee Sheng Wey yang bertugas di Unit D9 JSJ Perak berkata, dia akan menjaga anjing itu sebaiknya agar dapat membiasakan diri seperti anjing peliharaannya yang lain. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |