Demi Lencana Di Dada, Hujan kasi bahang semangat Harimau Malaya

8 hours ago 6

PETALING JAYA – Bukan lagu cinta rayuan patah hati atau romansa memuja kekasih, seluruh jiwa kumpulan Hujan berbunga bangga saat single terbaharu mereka, Demi Lencana Di Dada sedia menemui pendengar.

Boleh diibaratkan peledak yang akan menambah bahang dan membakar semangat, lebih istimewa Demi Lencana Di Dada yang dilancarkan hari ini sebenarnya dijadikan lagu rasmi skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya.

“Kami rasa sangat berbesar hati dan bangga bila diberi peluang menyanyikan lagu rasmi Harimau Malaya.

“Sebagai rakyat Malaysia, bola sepak sudah menjadi sebahagian daripada jiwa kita semua.

“Bila kami menyanyikan lagu ini, bukan sekadar sebuah lagu tapi semangat yang menyatukan seluruh negara di belakang pasukan kebanggaan kita,” katanya.

Berkongsi lanjut, Noh atau nama lengkapnya Mohammad Noh Salleh, 40, mengakui sukar membawakan lagu tersebut lebih-lebih lagi didedikasikan bagi menyuntik semangat pemain dan penyokong.

“Bukan mudah sebenarnya mahu menyampaikan rasa semangat dan jiwa Harimau Malaya dengan penuh keikhlasan.

“Lagu ini bukan sekadar melodi bahkan, adalah simbol perjuangan, pengorbanan dan harapan.

“Jadi kami perlu pastikan setiap lirik dan setiap nada yang kami nyanyikan boleh membakar semangat pemain dan penyokong di stadium mahupun di rumah,” ujarnya.

Selain itu, pelantun lagu Rahsia Tuhan itu berharap pasukan kebangsaan terus maju selain sukan bola sepak boleh menyatukan semua masyarakat di Malaysia.

“Besar harapan kami agar bola sepak Malaysia terus maju, bukan saja dari segi pencapaian di arena antarabangsa, tapi juga dalam menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan latar belakang.

“Bola sepak punya kuasa untuk menghubungkan kita semua dan kami percaya dengan semangat Harimau Malaya, Malaysia boleh terus melakar sejarah yang membanggakan,” jelasnya.

Projek Demi Lencana Di Dada mula bergerak membangunkan bermula Februari lalu bagi memastikan kualiti muzik, lirik serta mesej yang disampaikan benar-benar menyentuh jiwa.

Sebagai tanda pelancaran rasmi, lagu tersebut akan diperdengarkan buat kali pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September  (malam ini) sempena Perlawanan Persahabatan antara Malaysia dan Singapura.

Selain itu, Demi Lencana Di Dada juga akan dimainkan dalam perlawanan seterusnya antara Malaysia dan
Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 8 September.

Lagu ini boleh distrim di semua pelantar penstriman mulai 5 September manakala lirik video
pula ditayangkan di YouTube Warner. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |