Padah ‘bot koboi’ pukat langgar kawasan dibenarkan

4 hours ago 7

KUALA SELANGOR – Sebuah bot pukat tunda bukan sahaja melanggar syarat lesen penangkapan ikan, malah tidak ubah seperti ‘bot koboi’ apabila langsung tidak mempunyai peralatan kecemasan.

Kesalahan itu dikesan Jabatan Perikanan (DOF) Selangor selepas menahan bot berkenaan kira-kira pukul 5 petang, kelmarin.

Pengarah DOF Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, penahanan bot di kedudukan 11.13 batu nautika di perairan Tanjung Karang dilakukan hasil rondaan pihaknya.

Katanya, semasa ditahan didapati bot itu dikendalikan seorang tekong tempatan bersama empat kru termasuk warga Indonesia dan Myanmar yang berusia 30 hingga 40 tahun.

“Bot tunda kelas C berkenaan didapati menangkap ikan menggunakan pukat tunda di bawah 15 batu nautika.

“Ini seterusnya melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tekong dan kru yang ditahan DOF Selangor di kedudukan 11.13 batu nautika di perairan Tanjung Karang, kelmarin. 

Beliau menambah, hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati bot tersebut juga tidak dilengkapi dengan peralatan keselamatan semasa pemeriksaan dijalankan.

Tegasnya, peralatan keselamatan adalah aspek penting untuk melindungi nyawa kru bot, khususnya dalam situasi kecemasan di laut bagi mengurangkan risiko lemas.

“Kita turut merampas hasil tangkapan dianggarkan sebanyak 300 kilogram.

“Bot berkenaan kemudiannya diiring masuk ke Jeti Limbungan Perikanan, Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |