KUALA LUMPUR – Polis tidak menolak kemungkinan sindiket penjualan kandungan pornografi bayi dan kanak-kanak menerusi aplikasi Telegram serta ‘dark web’ yang ditumpaskan baru-baru ini mempunyai rangkaian antarabangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, terdapat maklumat daripada pihak berkuasa luar mengenai aktiviti penjualan kandungan pornografi membabitkan kumpulan ini.
Menurut beliau, banyak rakaman video dan gambar penganiayaan seksual kanak-kanak telah dimuat naik di dalam ‘dark web’ tertentu yang mempunyai rangkaian antarabangsa.
“Siasatan Op Pedo ini masih berjalan dan kita (polis) terpaksa berdepan dengan musuh tanpa mengetahui siapa musuh itu.
“Ini kerana, kita (polis) mengalami kesukaran untuk mengesan pemilik-pemilik yang akses kepada ‘dark web’ tersebut,” katanya ketika ditemui selepas pertemuan Menteri Komunikasi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama aplikasi TikTok di sini hari ini.
Kumar memaklumkan, setakat ini, tiada penglibatan individu lain selain 11 orang termasuk dalang yang ditahan di Johor Bahru menerusi Op Pedo yang dijalankan antara 19 Julai hingga 19 Ogos lalu.
“Kalau mahu kata ada penglibatan individu lain selain mereka. Setakat ini….tiada tetapi yang pasti ‘dark web’ yang dikendalikan ada pengikut dia,” jelasnya.
Pada 29 Ogos lalu, satu jaringan pedofilia yang berkongsi kandungan pornografi bayi dan anak-kanak dalam Telegram serta ‘dark web’ terbongkar selepas 11 suspek warga asing dan tempatan diberkas.
Menerusi operasi sama, dua bayi lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan berusia antara dua bulan hingga lima tahun turut diselamatkan.
Modus operandi digunakan adalah dengan memisahkan bayi baharu dilahirkan daripada ibu kandung untuk dijadikan anak angkat sebelum dijadikan mangsa pemuas nafsu dan ‘model’ kandungan lucah.-KOSMO! ONLINE