SEBERANG PERAI – SW Food menerusi jenama ecoBrown’s memperkenalkan perisa baharu snek Brice Durian Musang King yang diyakini menepati cita rasa rakyat.
Berteraskan slogan ‘Snack the Smart Way’, perisa baharu itu bukan sahaja memikat hati penggemar snek malah menjanjikan keceriaan dalam setiap kudapan.
Menurut Ketua Pemasaran SW Food, Vynce Lim, snek yang diperbuat daripada campuran beras perang, merah dan hitam itu lebih sihat kerana ia dibakar, bukan digoreng.
“Snek Brice penuh dengan serat pemakanan dan mengandungi Vitamin B3, Vitamin B6 dan membekalkan Vitamin E menjadikannya pilihan lazat lagi berkhasiat selain turut didatangkan dalam pek 40 gram (g) dan 100g.
“Rasa durian musang king diperkenalkan selepas pelbagai perisa lain yang ditawarkan turut mendapat sambutan memberangsangkan iaitu keju pedas, rumpai laut, truffle dan garam himalaya,” katanya.
Terdahulu, pelancaran Brice Musang King disempurnakan oleh aktor popular Korea, Hwang In Youp di pusat beli-belah Sunway Carnival, Seberang Jaya di sini baru-baru ini.
Tambah Vynce lagi, pelancaran produk terbabit amat bermakna kerana ia mencipta detik istimewa untuk rakan, orang tersayang dan pelanggan setia untuk menikmati Brice Durian Musang King bersama-sama.
Dalam majlis berkenaan, pelakon popular berusia 34 tahun itu meluangkan masa lebih sejam beramah-mesra bersama peminat yang setia menunggu sejak awal pagi.
Beliau turut menghiburkan peminat dengan mempelajari ‘loghat’ utara selain melakonkan semula babak tarian ‘Okey Dokey’ yang melonjakkan namanya menerusi siri True Beauty. -KOSMO! ONLINE