Speedy Tigers lega ranking dunia kekal

1 week ago 13

KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, Sarjit Singh menegaskan kemenangan 4-1 ke atas China dalam aksi penentuan tempat ketiga Piala Asia 2025 kelmarin bukan sahaja menutup kempen dengan podium, malah memastikan Malaysia kekal di ranking ke-12 dunia.

Sarjit mengakui sasaran utama adalah mara ke final, namun tetap melihat pencapaian kali ini sebagai satu hasil positif selepas bangkit daripada kekecewaan melepaskan peluang keemasan ke final apabila tewas kepada Korea Selatan di separuh akhir.

“Pemain bermain cukup baik untuk mara ke final, tetapi semua kecewa selepas kekalahan semalam (kelmarin). Bagaimanapun, mereka bangkit semula untuk dapatkan podium. Sasaran kami ke final, tetapi tempat ketiga juga masih satu keputusan yang baik,” katanya.

Sarjit turut memuji prestasi Akhimullah Anuar Esook yang meraih anugerah penjaring terbanyak kejohanan dengan 12 gol selain statistik cemerlang pasukan meledak 31 jaringan dan hanya bolos 11 kali dalam keseluruhan saingan.

“Purata jaringan kita 4.7 gol setiap perlawanan, itu sangat bagus. Saya lihat kecergasan pemain semakin meningkat dan kita masih perlukan masa untuk jadi lebih baik. Buat masa ini, kita berada di landasan yang betul,” jelasnya.

Sarjit turut menekankan kepentingan kemenangan ke atas China dalam aksi terakhir di Rajgir, India kerana menyelamatkan ranking dunia Malaysia.

“Semalam (kelmarin) bila kita kalah kepada Korea, kita hilang 71 mata. Kalau malam ini (semalam) kita kalah lagi, memang kita akan bermasalah. Tetapi kerana menang, kita kekal di tangga ke-12 ranking dunia.

“Itu penting kerana dalam kelayakan Piala Dunia nanti, hanya tujuh pasukan akan mara, tiga teratas setiap kumpulan serta pasukan keempat dengan ranking tertinggi,” tambahnya.

Menariknya, Speedy Tigers turut meraih anugerah pemain muda terbaik kejohanan diberikan kepada Andywalfian Jeffrynus.

Meskipun gagal muncul juara untuk menyambar tiket automatik Piala Dunia 2026 di Belgium dan Belanda, podium ketiga tetap memberi kelegaan buat skuad negara dalam misi kembali merapatkan jurang dengan gergasi Asia. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |