LUMUT – Tekad untuk membantu golongan memerlukan, Siti Yosnani Esa, 43, mengambil langkah berani dengan menyewa kelas dan padang sebuah sekolah agama di Batu 10, Lekir dekat sini bagi menganjurkan kelas keagamaan, tuisyen dan aktiviti riadah.
Dia berasa terpanggil untuk menabur bakti kepada penduduk kawasan tersebut kerana beranggapan ia merupakan satu ‘saham’ akhirat bagi dirinya yang sebelum ini berkecimpung dalam bidang pemasaran terutama melibatkan sektor korporat.
Ujar wanita ini, usaha itu telah dimulakannya sekitar tahun 2017 lagi dengan menganjurkan kelas-kelas agama di kediamannya di Batu 10, Lekir, namun bimbingan diterima dari Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) memberinya lebih keyakinan untuk meluaskan inisiatif berkenaan.
“Menerusi syarikat saya sendiri iaitu Annubuwah Venture, saya mengambil keputusan untuk menyewa beberapa kelas dan padang Sekolah Rendah Islam Manabiul Ulum bagi menawarkan perkhidmatan kelas al-Quran dan tuisyen.
“Alhamdulillah, bantuan iTEKAD STeP/Ambank sebanyak RM5,000 yang diterima tahun lalu turut membantu dalam meneruskan kelas agama di sekolah ini,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.
Yosnani berkata, peserta kelas anjurannya merupakan murid-murid sekolah rendah di Batu 10, Lekir dan kawasan sekitar dengan jumlah terkini direkodkan adalah seramai 70 orang.
Antara pengisian kelas termasuk pengajaran iqra pada hari Isnin, talakki (Selasa dan Jumaat), tajwid (Rabu), fardu ain dan bacaan Yasin (Jumaat), memanah (Sabtu) serta silat (Ahad).
“Selain itu, kami juga menganjurkan kelas tuisyen bagi matapelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik dan sains, dibantu dua orang tenaga pengajar.
“Penganjuran kelas ini adalah untuk memastikan anak-anak mustadifin ataupun terbiar di kawasan ini dapat dibimbing. Biarlah mereka lakukan sesuatu yang bermanfaat demi masa depan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar Sekolah Rendah Islam Manabiul Ulum, Muhammad Ramlan berkata, kelas-kelas agama yang dianjurkan Siti Yosnani banyak membantu murid terbabit mendapatkan lebih kefahaman terhadap ilmu dipelajari di sekolah.
Jelasnya, ilmu dipelajari di sekolah harian biasa ataupun dengan guru-guru agama mungkin tidak sempat diterangkan secara terperinci selain memerlukan latihan, misalnya berkaitan tajwid.
“Kelas-kelas ini turut membantu daripada sudut sosial kerana ia memberi pengisian bermanfaat kepada murid dan memastikan mereka tidak membuang masa,” katanya.
Program dianjurkan Siti Yosnani adalah selari dengan flagship pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat.