KUALA LUMPUR – Kerajaan menyalurkan keseluruhan RM4.42 juta menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) sebagai tanda penghargaan kepada atlet negara yang berjuang di Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2025 di Thailand dengan insentif itu disifatkan sebagai pemangkin semangat, bukan penamat kepada perjuangan mereka.
Menteri Belia dan Sukan, Taufiq Johari berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2.6 juta diperuntukkan kepada atlet normal manakala RM1.475 juta kepada atlet para, sebagai pengiktirafan terhadap pengorbanan dan komitmen wira serta wirawati negara di pentas serantau.
“Ini adalah salah satu cara kerajaan menghargai atlet-atlet kita supaya mereka terus bersemangat dan berasa dihargai. Tetapi saya ingin tekankan, ini bukan noktah atau kemuncak kepada kejayaan mereka, sebaliknya permulaan untuk berjuang dengan lebih hebat bagi temasya-temasya akan datang,” katanya selepas Majlis Penyampaian SHAKAM, hari ini.
Menurut Taufiq, kejayaan di Sukan SEA tidak seharusnya melalaikan atlet, sebaliknya perlu dijadikan asas untuk memperkemaskan persiapan menghadapi cabaran lebih besar termasuk Sukan Asia 2026 di Nagoya.
“Insentif ini bukan untuk membuatkan atlet selesa atau hanyut dengan kejayaan. Ia bertujuan memberi motivasi supaya mereka kembali fokus, menjaga sikap dan terus bekerja keras untuk mencapai sasaran, malah melepasi sasaran yang ditetapkan,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan Malaysia bakal menggalas tanggungjawab besar sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027, justeru persiapan rapi perlu digerakkan dari sekarang melibatkan semua pihak termasuk penganjur, jurulatih, atlet serta barisan sokongan.
Taufiq yakin dengan perancangan sistematik dan sokongan berterusan, atlet negara berupaya mengekalkan momentum cemerlang serta mengangkat prestasi ke tahap lebih tinggi dalam temasya akan datang.
“Kita mahu atlet kita bukan sahaja mencapai sasaran, tetapi melepasi sasaran. Saya harap mereka terus kekal bersemangat, konsisten dan menjadi kebanggaan negara,” ujarnya. KOSMO! ONLINE.

3 hours ago
4


![[VIDEO] ‘Dah salah, lagi nak tunjuk gengster tahi kucing’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/samseng.jpeg)














































