PETALING JAYA – Kontroversi didakwa mempersendakan upacara agama lain memberi impak terhadap anak kepada penyampai radio Era FM Azad Jazmin, Amarra Sofea Rose.
Perkara itu dikongsikan isteri Azad juga pelakon, Eira Syazira atau nama sebenarnya Syazira Sarimah Sakinah Almera Shuhaimi, 41, yang memuat naik momen puteri sulung mereka menangis.
Berharap permata hatinya yang berusia 12 tahun itu terus bersabar, katanya setiap dugaan mendatang mampu mengukuhkan hati, sekali gus yakin kesabaran membawa kepada kemenangan.
“Sabarlah wahai anakku intan patung mom dan dad. Jadilah anak yang kuat bukan kerana dunia ini mudah tetapi kerana awak lebih hebat dari setiap cabarannya.
“Percayalah sayangku, setiap ujian itu mendidik jiwa dan setiap kesabaran pasti membawa kemenangan.
“Percayalah, insya-Allah,” katanya dalam perkongsian video menerusi Instagram.
Dipercayai tangisan Amarra disebabkan terlalu sedih apabila bapanya menjadi sasaran kecaman ramai.
Menerusi hantaran sama, ibu kepada tiga cahaya mata itu turut berkongsi komen seorang individu berbangsa India yang menerima permohonan maaf suaminya serta dua lagi rakan penyampai lain.
Saya bangsa India, saya setuju memaafkan mereka. Kita semua manusia, biasa buat salah dan bertolak ansur.
“Mereka pun ada keluarga, ingat anak isteri mereka. Kalau hilang kerja macam mana?” ujar individu terbabit.
Menerusi ruangan komen, ramai netizen menyuarakan perasaan sedih melihat keadaan Amarra yang sedang dibuai emosi.
Mereka juga menyatakan sokongan terhadap tiga penyampai yang kini digantung tugas dengan mendoakan mereka terus kuat berdepan isu panas ini.
“Aku tengok pun ternangis sekali. Semoga Azad dan semua mendapat keadilan Allah,” tulis seorang pengikut.
Kamu diuji di bulan Ramadhan ini, sabar ya nak. Insya-Allah besar ganjarannya,” kata pemilik akaun laman sosial lain.
Sejak beberapa hari lalu nama Azad bersama dua lagi rakan gandingannya, Nabil Ahmad dan Radin dalam segmen 3 Pagi Era membahang selepas tular video memaparkannya didakwa meniru tarian kavadi.
Klip video yang mengundang kritikan kerana dikatakan menghina masyarakat Hindu itu mengakibatkan mereka bersama tiga lagi kakitangan Astro Audio dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman, Rabu lalu.
Begitupun, mereka lebih dulu menyedari kesilapan yang dilakukan apabila tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Bahkan, tindakan dilakukan ketiga-tiga selebriti terbabit mengundang pujian kerana mengakui kesilapan. – KOSMO! ONLINE