‘Semua barang niaga rosak, tak ada yang boleh diselamatkan’

2 weeks ago 15

KUALA LUMPUR – Para peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) hari ini terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian beribu ringgit setelah barang perniagaan mereka rosak akibat hujan ribut petang tadi.

Dianggarkan kira-kira 40 khemah para peniaga mengalami kerosakan selain barang perniagaan turut musnah akibat cuaca buruk itu.

Seorang peniaga pakaian baju raya, Muhamat Azuwaranas Syafrizal, 35, berkata hujan lebat mula turun sekitar pukul 4 petang tadi disusuli dengan angin yang begitu kencang.

Katanya yang mula berniaga di lokasi tersebut sejak 4 Mac lalu, kejadian berlaku sekelip mata apabila khemahnya patah dan kesemua barang perniagaannya tidak sempat diselamatkan.

“Hujan turun secara mengejut secara tiba-tiba dan sekelip mata je angin kencang kuat datang. Khemah patah dan habis semua 100 peratus baju-baju tak sempat kami selamatkan.

“Memang baju kurung, baju melayu, sampin habis basah. Ada yang koyak, kotor, basah. Tak tahu dapat berniaga lagi atau tidak sebab modal beribu ringgit dah habis dekat sini (barang perniagaan),” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.

Khemah milik Muhamat Azuwaranas yang rosak akibat hujan lebat petang tadi

Tambah Muhamat Azuwaranas, khemah yang diberi oleh pihak berwajib juga didakwa tidak kuat dan mudah patah apabila berdepan dengan cuaca buruk seperti ini.

“Kami ada khemah sendiri, tetapi pihak pengurusan tidak benarkan kami pakai khemah selain yang diberi. Masalahnya khemah yang diberi tidak berapa kuat dan mudah patah.

“Sehingga kini kami masih sedang berusaha menyelamatkan saki baki barang niaga walaupun hujan sedang turun dengan lebat,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga hanya ingin dikenali sebagai Hidayah berkata, keadaan susunan khemah secara ‘back to back’ menjadi penyebab utama kepada kejadian malang ini.

Katanya, isu ini pernah disuarakan kepada pihak berwajib namun tidak diendahkan sekali gus mendatangkan kekecewaan kepada para peniaga.

“Kawasan khemah yang diletak secara ‘back to back’ adalah amat tidak sesuai. Lagi pula khemah para peniaga diletakkan di laluan angin.

“Hujan tak sampai lima minit tapi kerosakannya begitu teruk sampai satu barang pun tidak dapat diselamatkan. Saya harap pihak berwajib bertanggungjawab atas kejadian ini,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan operasi perniagaan di Jalan TAR terpaksa dihentikan buat sementara waktu susulan hujan lebat dan ribut petir petang tadi.

Bukan sahaja barangan kering seperti pakaian baju raya, malah peniaga makanan dan minuman juga difahamkan terkesan dengan cuaca buruk ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |