KUALA LUMPUR – Bekas pemain hoki remaja kebangsaan, Datuk Dr. Vijayaraj Kanniah kini semakin bersemangat untuk menabur bakti dan sumbangan kepada arena sukan kebangsaan terutamanya buat negeri kelahirannya, Melaka.
Biarpun keringatnya di atas padang bersama Young Tigers tidaklah begitu lama tetapi beliau yang mesra disapa dengan nama Vijay itu sentiasa mengambil tahu mengenai prestasi sukan tanah air, lebih-lebih lagi arena hoki.
Demi perasaan cinta terhadap arena sukan negara, pelbagai inisiatif dilakukan oleh Vijay walaupun ‘terjun’ dari lapangan berbeza ke dunia profesional seperti menganjurkan program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Disebabkan itu, Anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka bulan lalu secara tidak langsung membakar semangatnya.
“Impian saya mahu terus memainkan peranan (kepada sukan). Walaupun sudah berhijrah ke bidang profesional tetapi saya masih memberi semula apa yang saya terdaya kepada sukan.
“Saya masih tidak lupakan sukan. Saya buat CSR untuk sukan, menjadi jurulatih hoki pasukan senior peguam Malaysia dan juga masih mewakili pasukan hoki veteran peguam Malaysia.

“Bagi tahun 2025, saya juga tampil membantu Melaka FC dalam saingan Liga Super Malaysia. Jadi sekarang dengan anugerah Datuk, semangat semakin kuat untuk membantu sukan.
“Saya dedikasikan anugerah ini kepada keluarga dan mendiang ibu yang meninggal dunia awal tahun ini,” kata Vijay yang merupakan Pengarah Visioon Business Solutions Sdn. Bhd. (VBS) dan juga rakan kongsi Sheila Hussain Vijay & Partners.
Sebagai rekod, Vijay merupakan anggota keluarga hoki yang terkenal di Melaka disebabkan status dua abangnya iaitu K. Embaraj sebagai salah seorang pakar sudut penalti terbaik dunia era 90-an dan Muhammad Dhaarma Raj Abullah pula pernah diangkat sebagai Jurulatih Lelaki Terbaik Anugerah Sukan Malaysia 2013.
Antara inisiatif lain pernah disumbangkan oleh Vijay kepada arena sukan seperti menganjurkan Piala VBS di Sabah selain turut menghargai ramai bekas atlet kebangsaan menerusi Anugerah Sukan VBS CSR.
Bekas pemain pertahanan skuad bola sepak kebangsaan, A. Jayakanthan menjadi penerima keempat Anugerah Sukan VBS CSR pada tahun lalu selepas Dhaarma (2019), Paul Lopez (2022) dan Iman Gobinathan (2023). – KOSMO! ONLINE