PETALING JAYA – Seorang wanita tidak menyangka bantuan MySara yang dikumpulnya selama ini untuk membeli barang keperluan rumah, lesap apabila diguna pakai oleh individu tidak dikenali.
Menurut Norasyikin Turmingan, 30, kehilangan wang bantuan tersebut mula disedari apabila kad pengenalan suaminya hilang pada awal bulan ini.
Katanya, setelah kad pengenalan tersebut hilang dia dan suami mula tergerak hati untuk menyemak baki bantuan tersebut menerusi laman sesawang MyKasih.
“Terkejutnya kami apabila dapati MySara tinggal RM1 lebih macam tu, yang bantuan MyKasih pula tinggal RM11. Kami tak pernah guna, sebab niat nak kumpul beli barang rumah sekali banyak.
“Sebab sebelum ni bila kami pergi ke pasaraya mesti sistem ‘down’. Tapi tak sangka jadi begini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Norasyikin yang bekerja sebagai peniaga berkata dia dan suami telah pun membuat laporan polis semalam di Balai Polis Jeram, Kuala Selangor bagi memastikan pelaku ditangkap.
Kata ibu kepada tiga orang anak itu, pelaku membuat transaksi sebanyak empat kali di tiga pasaraya berbeza pada 4, 6 dan 7 September.
Menurutnya, hasil semakan kamera televisyen litar tertutup di salah sebuah pasaraya mendapati pelaku tersebut merupakan lelaki dan wanita dipercayai merupakan suami isteri berusia lingkungan 40-an.
“Asalnya suami cakap kalau orang susah ke orang tua halalkan sahaja. Tapi susah sebab duit itu hak kami. Sedih sebab kami kumpul untuk beli barang keperluan rumah. Saya nak hak saya balik, sebab tu saya buat laporan polis,” katanya.
Sementara itu, Norasyikin berharap agar kerajaan mempertimbangkan semula untuk menyalurkan bantuan terus ke akaun bank rakyat bagi mengelakkan lebih banyak kejadian seperti ini berlaku.
Dia juga berharap agar kerajaan serta pasaraya mengetatkan prosedur agar pemilik kad pengenalan sahaja boleh membeli barang.
“Boleh tegas sedikit lepas ni, sama ada kalau nak beli barang tu pakai kata laluan ke. Atau semak sama ada betul ke yang membeli tu pemilik kad pengenalan tersebut,” katanya.
Sebelum ini hantaran Norasyikin tular di Facebook kerana dia meminta tolong orang ramai yang mengenali individu menggunakan kad pengenalan suaminya untuk tampil ke hadapan bagi menyelesaikan isu terbabit. – KOSMO! ONLINE