SCORE Marathon 2025 tarik 33,000 peserta

21 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Penganjuran acara SCORE Marathon by AIA Vitality tahun ini dijangka berlangsung lebih meriah apabila sudah berjaya menarik penyertaan 33,000 peserta dari 48 buah negara.

Jumlah penyertaan itu sekali gus menjadikan pertandingan tersebut sebagai salah satu kejohanan larian terbesar di Malaysia dan ia juga mendapat pengiktirafan daripada Olahraga Dunia (WA) dengan Label Road Race.

Kejohanan yang mempertandingkan empat jarak larian termasuk 5 kilometer (km), 10km, 21km dan 42km itu akan berlangsung di Putrajaya pada 13 Julai ini dengan tema ‘Conquer Your Next Challenge’.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Score Sports Management, Patricia Tan berkata, tema pada tahun ini dapat memberikan inspirasi kepada para peserta untuk tidak mudah berputus asa dan mengerah segala kudrat hingga ke garisan penamat.

“Sejak mula dianjurkan pada 2014 dengan seramai 3,674 peserta, SCORE Marathon menunjukkan perkembangan yang cukup baik setiap tahun. Selepas lebih sedekad, kejohanan ini sentiasa memberikan inspirasi kepada pelari.

PESERTA berpeluang menikmati keindahan Putrajaya sepanjang melakukan larian. – IHSAN PENGANJUR

“Menerusi tema ‘Conquer Your Next Challenge’, kami harap ia dapat memberikan lebih semangat kepada peserta untuk bertahan hingga ke garisan penamat selain mempromosikan gaya hidup sihat,” katanya.

Sebagai rekod, seramai 24,253 peserta yang mengambil bahagian pada edisi tahun lalu dan peningkatan dari segi penyertaan kali ini menyaksikan ia melakar sejarah baharu dalam penganjuran SCORE Marathon.

Pada masa sama, Ketua Pegawai Pemasaran AIA Vitality, Chee Foong Wai menganggap kejohanan maraton itu bukan sekadar perlumbaan semata-mata tetapi ia menjadi platform menyatukan pelari-pelari dari seluruh dunia.

“SCORE Marathon lebih daripada sekadar perlumbaan kerana ia untuk meraikan gaya hidup sihat. Kami di AIA sangat bangga untuk memberikan sokongan kepada pergerakan yang menyatukan pelari-pelari.

“Penyertaan 33,000 peserta menjadi satu penada aras bahawa orang ramai mula mementingkan gaya hidup yang aktif. Kami akan terus komited memberikan sokongan kepada acara-acara yang mempromosikan gaya hidup sihat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |