‘Sayu, bangkitlah..’ – Peminat sebak Naim Daniel ‘perform’ kali pertama

9 hours ago 4

PETALING JAYA – Terpalit dengan pertuduhan amang seksual tidak ‘menimbuskan’ kerjaya seni sebaliknya penyanyi Naim Daniel terus dihujani dengan doa peminat apabila dia muncul membuat persembahan dalam sebuah acara baru-baru ini.

Dalam acara School of Galau anjuran XO House itu, pemilik nama penuh Muhammad Naim Daniel Baharin, 27, mengundang sebak ramai apabila mendendangkan beberapa buah lagu seperti Seni Berdamai Dengan Takdir, Mengenangmu dan Lagu Lelaki Gila yang disampaikan sepenuh jiwa.

Rata-rata netizen mengakui berasa sebak melihat video-video persembahan Naim terutama mengenangkan kes mahkamah yang sedang dilalui penyanyi berkenaan.

“Kenapa entah rasa sayu tengok muka Naim, semoga yang baik-baik untuk dia.

“Selagi tak disabitkan salah, selagi itu kita tidak boleh mudah menjatuhkan hukum kepada dia, ‘fly high’ Naim!

“Dia yang menyanyi tetapi kenapa aku rasa sebak, bangkit Naim bangkit,” komen netizen.

Menerusi video lain, rakan artis yang berada di bawah label XO House seperti Iman Troye dan Dalia Farhana dilihat tidak dapat menahan sebak sebaik Naim muncul di pentas membuat persembahan.

Difahamkan, ini merupakan persembahan pentas pertama Naim selepas dia terpalit dengan kes pertuduhan amang seksual bulan lalu.

Semalam, Kosmo! Online melaporkan lagu Seni Berdamai Dengan Takdir terus menjadi siulan ramai apabila meroket di tangga pertama karya paling tinggi jumlah penstriman.

Muzik Video (MV) karya itu sudah mencecah lebih 1.3 juta tontonan di YouTube sejak dilancarkan sebulan lalu.

Pada 17 Jun lalu, Naim mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary dalam prosiding yang dilakukan secara tertutup.

Mengikut pertuduhan, pemenang Anugerah Juara 34 (AJL34) itu didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun bagi tujuan seksual.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin manakala Naim Daniel diwakili peguam Mohd. Irwan Sumadi dan Amirul.

Terdahulu, selebriti itu ditahan pada 3 Jun lalu selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor.

Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangannya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |