‘Saya kecewa’

13 hours ago 6

KAJANG – Bintang bola sepak Selangor FC, Faisal Halim melahirkan kekecewaan de­ngan keputusan Jabatan Peguam Negara yang mengklasifikasi kes sera­ngan simbah asid ke atasnya pada 5 Mei tahun lalu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Peguam yang mewakili Fai­sal, Nik Zarith Nik Moustpha berkata, anak guamnya juga sukar untuk menerima keputusan tersebut memandangkan tragedi hitam itu hampir meragut nyawa dan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

“Selepas mengetahui status kes berkenaan, Faisal selaku anak guam kami jelas kecewa dengan keputusan siasatan tetapi faham dengan situasi semasa.

“Kita ada undang-undang dan dia ada hak sebagai warganegara. Dalam konteks ini, pihak berkuasa adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita juga telah berbincang dengan Faisal untuk tentukan langkah seterusnya yang boleh diambil memandangkan dia adalah mangsa dalam kes ini,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Seorang lagi peguam yang mewakili Faisal, Mohd. Haijan Omar berkata, mentaliti pemain berusia 27 tahun itu sangat cekal apabila dia mampu dan berjaya membuat kemunculan secara kompetitif dalam masa singkat.

“Secara mental, kita tengok Faisal macam dah okay kerana sudah kembali beraksi, tetapi tahu insiden ini pasti meninggalkan trauma padanya.

“Tidak sampai setahun juga, dia sudah kembali dipanggi bersama skuad kebangsaan dan ini adalah perkara positif,” katanya.

Terdahulu pada sidang akhbar semalam, Nik Zarith memaklumkan kes simbah asid melibatkan Faisal yang pernah menggegarkan negara pada Mei tahun lalu diklasifikasi sebagai NFA.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan Jabatan Peguam Negara menerusi satu surat bertarikh 18 Februari 2025.

“Kami membuat kenyataan di sini sebagai peguam yang mewakili anak guam kami, Faisal Halim berhubung kes serangan simbahan asid terhadap beliau pada 5 Mei 2024.

“Sepanjang tempoh siasatan kes ini, pihak kami mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan kes ini diberikan perhatian yang sewajarnya,” katanya.

Menurut Nik Zarith, surat Jabatan Peguam Negara (AGC) itu menyatakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dapat mengesan sebarang petunjuk baharu.

Susulan keputusan itu, beliau berkata, surat permohonan kepada AGC telah dihantar pada 18 April selepas berbincang bersama Faisal untuk langkah sete­rusnya.

“Setakat ini, surat telah dihantar kepada AGC agar siasatan dibuka semula (pada 18 April), tetapi buat masa ini masih tiada sebarang maklum balas,” kata­nya.

Mohd. Haijan pula memaklumkan, keadilan wajar diberikan kepada Faisal dan keputusan mengklasifikasi kes tersebut sebagai NFA adalah terlalu awal.

“Kita minta AGC jangan tutup kes ini kerana PDRM klasifikasikan kes ini di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memberikan hukuman maksimum 20 tahun. Ini jenayah yang serius, jadi kenapa tiada siapa yang ditahan.

“Mengenai tindakan lanjut, kita perlu berbincang dengan anak guam sama ada mahu saman mana-mana pihak yang boleh kita kenakan liabiliti terhadap apa yang berlaku.

“Setakat ini, (tindakan) kita fokus kepada beliau dan bukan mana-mana badan atau agensi,” kata Haijan.

Faisal menjadi mangsa simbah asid pada 5 Mei tahun lalu oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya sehingga disahkan melecur tahap empat.

Namun, Faisal berjaya bangkit selepas menjalani beberapa siri pembedahan sebelum membuat kemunculan semula di atas padang bersama Gergasi Merah pada Ogos lalu.

Malah, Faisal turut dipanggil skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Nepal pada Mac lalu.

Read Entire Article
Pertanian | | | |