‘Saya belum sampai tahap nak lakukan rawatan kehamilan’

3 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Hampir enam tahun berumah tangga tetapi masih tiada rezeki mempunyai anak, pelakon Hannah Delisha berasakan masih tiada keperluan untuknya melakukan sebarang rawatan kehamilan.

Menurut Hannah atau nama penuhnya Hannah Adlina Blackburne Birch, 30, buat masa sekarang dia sebaliknya fokus terhadap penjagaan kesihatan diri secara dalaman.

“Setakat ini, saya belum sampai ke tahap mendapatkan rawatan.

“Namun, saya tidak menyalahkan sesiapa yang melakukannya tetapi untuk saya dan suami, kami belum berusaha secara ‘all out’ ke arah itu.

“Buat masa ini, saya hanya mengambil makanan tambahan dan suplemen sebagai langkah menjaga kesihatan dalaman,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada sidang media Kandungan Ramadan Astro 2026 di sini, baru-baru ini.

Berkongsi mengenai pengalaman diuji mengalami keguguran dua tahun lalu, Hannah menyifatkannya sebagai satu memori pahit yang memberi impak mendalam.

Namun, dia memilih untuk tidak membiarkan dirinya larut dengan kesedihan sebaliknya mengangggap ujian tersebut adalah hikmah dan aturan hidupa daripada Allah.

“Setiap orang ada ujian masing-masing. Ada diuji dengan kesihatan, kewangan dan saya pula, ujiannya adalah zuriat.

“Sehingga hari ini saya tidak meletakkan sebarang tekanan berlebihan dan serahkan semuanya kepada Allah.

“Bila sampai masanya, saya percaya semuanya akan berlaku dengan izin-Nya,” katanya lagi.

Tambahnya, dia juga akan mengambil cuti panjang daripada dunia lakonan sekiranya diberikan rezeki untuk hamil sekali lagi satu hari nanti.

Akui pelakon kelahiran Singapura itu, perkara tersebut menjadi pengajaran buatnya kerana yakin antara faktor mengalami keguguran sebelum ini adalah jadual kerja yang padat.

“Pengalaman kehamilan pertama dahulu juga sangat padat dengan jadual kerja dan mungkin itu antara sebab kandungan tidak kuat.

“Jadi, jika mengandung lagi nanti, secara automatik saya memang akan berehat sepenuhnya,”

Bintang filem Langsuir itu bagaimanapun berkata, akan terus aktif berlakon selagi Tuhan tidak memberinya rezeki untuk berbadan dua.

“Saya rasa ramai dalam kalangan figura awam pernah melalui fasa keletihan melampau (burnout). Bezanya, ruang untuk wanita berehat selalunya datang ketika mengandung.

“Tetapi selagi Allah SWT belum memberi rezeki itu, saya akan terus bekerja,” jelasnya.

Terdahulu, Hannah dan Imam yang juga pelakon dari Singapura mendirikan rumah tangga sekitar Februari 2021. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |