KUALA LUMPUR – “Hidup saya dah musnah kerana terpaksa menanggung hutang lebih daripada kemampuan saya sendiri”.
Demikian luah seorang guru dikenali sebagai Ain, 39, yang menjadi salah seorang mangsa penipuan sebuah syarikat konsultan kewangan sehingga mengalami kerugian sebanyak RM1.2 juta.
Menurut guru wanita itu, dia diperdaya untuk membuat pinjaman di empat buah bank berbeza pada Jun tahun lalu bagi tujuan pelaburan.
“Pada awalnya, saya (sertai) syarikat ini kerana saya percaya sehingga saya kata pada diri saya bodohnya kalau aku tak masuk,” katanya ketika ditemui di Menara KPJ, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Ain berkata, dia kini bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup apabila terpaksa mencari dana sampingan bagi membayar komitmen bulanan yang tinggi.
“Setiap hari bank cari (saya) sehingga datang ke tempat kerja. Saya percaya, saya tak akan mampu bayar sampai saya mati pun.
“Saya bukan tak reda atas ujian ini tetapi saya tak boleh terima sekiranya perkara ini dibiarkan tanpa pihak atasan buat siasatan,” ujarnya.
Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Dr. Akmal, 36, berkata, dia yang menyertai syarikat itu sejak 2021 telah diperkenalkan dengan beberapa kelas kewangan dan perbelanjaan.
“Kelas itu diadakan setiap bulan seolah-olah memberikan perspektif positif untuk menarik kepercayaan pelabur sebelum kami diminta membuat pinjaman tanpa faedah.
“Namun, semuanya jadi sia-sia apabila kami tahu wang tersebut telah diseleweng dan syarikat berkenaan gulung tikar,” jelasnya.
Dua individu antara 22 mangsa yang disyaki diperdaya syarikat berkenaan membabitkan kerugian keseluruhan berjumlah RM19.9 juta.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, kebanyakan mangsa yang merupakan penjawat awam mendakwa telah diarahkan membuat pinjaman peribadi daripada beberapa beberapa bank secara serentak.
“Modus operandi syarikat ini adalah mereka akan selesaikan hutang mangsa bagi menghapuskan rekod dalam sistem Central Credit Reference Information System (CCRIS) atau Credit Tip-Off Service (CTOS) sebelum menguruskan pinjaman untuk mangsa.
“Mangsa kemudian diminta menyerahkan kesemua wang pinjaman peribadi itu untuk tujuan pelaburan,” jelasnya.
Justeru, beliau berkata, PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil digesa membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi memastikn individu terlibat dihadapkan ke muka pengadilan.
Sebelum ini, SPRM menahan 12 individu dalam serbuan di 24 lokasi melalui Ops Sky, meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada Isnin.
Siasatan mengesan hampir RM700 juta pinjaman bank diluluskan kepada peminjam yang kemudian terjerat dengan sindiket menawarkan bantuan kewangan. – KOSMO! ONLINE